Friday 22 August 2014

Sesi Rakaman Bersama TV Al-Hijrah

Alhamdulillah. 15 Jun 2012 adalah antara tarikh kenangan termanis sepanjang saya melibatkan diri dalam bisnes kraftangan felt. Terkejut dan tidak pernah menyangka bahawa saya akan mendapat tawaran untuk terlibat dalam sesi rakaman rancangan Gen 21 terbitan TV-AlHijrah, sebuah program santai yang memberi fokus kepada remaja. Rakaman ini disiarkan di dalam slot Remaja dan Bisnes.

Saya sempat bertanya kepada Cik Izyan, penolong penerbit rancangan, bagaimanakah Amal Creative ditemui? Jawabnya, melalui carian Google yang membawanya ke blog saya. Sejak itu saya sedar tentang kepentingan dan kegunaan blog sebagai medium yang amat berkesan untuk membina jenama dan mempromosi produk bisnes.

Sesi rakaman berlangsung selepas waktu Zohor. Sebelum itu, Cik Izyan dan Cik Elly membuat persediaan dengan berbual-bual sambil menerangkan kepada saya bagaimana rakaman akan dibuat dan apakah soalan-soalan yang bakal ditanya ketika ditemu bual. Anak sulung saya yang masih kecil ketika itu, dibawa oleh suami masuk ke bilik supaya tiada gangguan bunyi ketika rakaman dibuat. Kipas juga ditutup untuk mengelakkan gangguan bunyi angin. Hingga begitu sekali caranya. Baru saya tahu.

Ada tiga bentuk sesi rakaman. Sesi awal dimulakan dengan sembang santai bersama hos sambil menceritakan produk-produk kraftangan felt dari Amal Creative. Diikuti dengan sesi langkah demi langkah menghasilkan keronsang felt. Kemudian ditemu bual tentang bagaimana saya memulakan bisnes Amal Creative. Dalam masa yang singkat, banyak sebenarnya yang saya kongsikan. Antaranya, bilakah bisnes ini dimulakan, mengapakah kraftangan felt menjadi pilihan, berapakah modal awal untuk menjalankan bisnes ini, apakah jenis produk yang dapat dihasilkan dengan felt, perbezaan fabrik dan macam-macam lagi.

Antara produk keluaran Amal Creative yang disediakan untuk sesi rakaman.

Bersama hos kecil molek, penolong penerbit dan jurukamera rancangan Gen 21.

Sekitar persediaan rakaman dan temu bual.

Syukur Alhamdulillah, terima kasih ya Allah di atas peluang ini. Terima kasih Cik Nurizyan selaku penolong penerbit yang pada awalnya menghantar emel dan mengatur janji temu sesi rakaman. Buat Cik Elly hos yang ramah dan mesra, terima kasih kerana begitu bijak berkomunikasi dan natijahnya berjaya mengurangkan rasa gementar saya yang pertama kali ditemu ramah untuk siaran rakaman televisyen. Terima kasih juga buat jurugambar profesional yang cekap menjalankan tugas. 

Sesungguhnya, banyak pengalaman di belakang tabir yang saya pelajari secara tak langsung sepanjang petang sesi rakaman dibuat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Rakaman ini disiarkan pada Sabtu 23 Jun 2012 dalam episod terakhir rancangan Gen 21. Saya sempat merekod video siaran untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

No comments: