Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Monday, 1 September 2025

Corner Trimmer

Takdak sapa tanya pun.
Tapi tetap nak habaq.


Ni alatnya saya guna untuk potong penjuru kad tu bagi bulat comel helok. Nama dia corner punch/corner trimmer/corner rounder/corner cutter or whatever you nak call it lah.

Yang pasti fungsi dia nak bulatkan penjuru kad tu. Selain nampak comel dan acah estetik haha, rasa selamat lah sikit handle card tu - tak tercucuk bucu tajam.

Kat Shopee ni ada dua jenis. Boleh pilih ikut bajet dan keperluan na. https://s.shopee.com.my/2LOVdY2l9d

Kalau nak cutter warna pink macam saya tu kat sini https://s.shopee.com.my/4VT0ESxpAb Warna cutter dia comel lagi.

*Kerja potong bucu ni saya bagi anak ja buat. Hee jimat masa Mama.

Tuesday, 29 April 2025

Teman Baru

Lama sungguh kan saya tak share apa-apa kerja kraf. Cey cey, tanya macam lah ada orang yang perasan, dok tunggu artwork kita. Ahaha!

Sebenarnya, mata ni dah mula kabur bila tengok jarak dekat. Nak membaca, tak syok. Nak menjahit, tak syok. Pi shopping nak tengok ingredients, nak check expiry date pun, kena tarik barang jauh sikit baru boleh baca.

Tapi, masih dalam fasa in denial. Hihu.
Disebabkan fasa tu lama, angka simpanan niaga pun terjejas. Surut yang bukan sikit.

Banyak kerja duniawi wa ukhrawi tergendala. Maka Encik Bos gunakan kuasa veto, bawa isteri beliau pi check mata.


Hasil pemeriksaan, ternyata sah rabun dekat secara rasminya jadi BFF baru saya. Alhamdulillah 'ala kulli haal.

Semalam, Alhamdulillah genaplah one year wiser on paper (insyaAllah). Redhalah wahai Amalina, dengan kehadiran BFF baru itu di permulaan usia klasikmu. 🤓

Side reflection note:

Hidup di dunia ni bila kabur, kena tukar kaca mata Akhirat. Baru nampak jalannya jelas terang benderang.

Saturday, 18 January 2025

Shopee International


Shopee dah tukar air waybill layout depa untuk international parcel.

Sebelum ni guna alamat gudang Johor. Jadi kita pun tak tau nama customer dan di mana alamatnya. Tapi yang sekarang ni, dah dapat tau.

Lagi suka macam ni. Sekurang-kurangnya dapat belajar nama-nama tempat di negara jiran kita di Selatan sana. 😃 Harapnya satu hari nanti, Shopee buka platform Malaysia untuk jiran di Brunei dan Indonesia juga.

Wednesday, 10 July 2024

Yang Naik


Ocean shipping price.
Setahun entah berapa kali naik. 🙂

Pelanggan tetap beli kain felt di kedai oren kami pun mesti perasan yang kami dah naikkan harga sekupang demi sekupang.

Pesaing yang suka gegar harga kami pun dah mula naikkan harga.

*Hmm nak ja cakap, saya ni mak meniaga kecil-kecilan di rumah saja demi mencari dana kelangsungan anak-anak sekolah. Janganlah nak bersaing dengan anak bilis macam saya. Hampa tu jerung kot. Aduhai..*

Daripada RM1.50, sekarang dah jadi RM1.80 sekeping saiz 29cm x 29cm. Tahun depan mungkin kami naikkan jadi RM2.00 kalau dah kos sana-sini naik. Kami kira semua kos berkaitan dan insyaAllah offer the best price yang kami boleh. 

(Pesaing nak main harga kurang 5 sen ka, 9 sen ka, saya tak peduli. Lawak lah. 😅 Saya peratiii ja sejak dulu.)

Saya nak ambil kesempatan juga buat pelanggan tetap Amal Creative yang terus setia berurusan dengan kami walau harga kain makin naik.

If only you all knew how much every penny you spend with us means.

Jazaakumullaahu khayran. 🤍

Tibeh speaking kan. Subhanallah. Haha. Begitulah kalau dah terharu sangat.

Wednesday, 26 June 2024

Sampul Pos


Sampul Poslaju ni masih ada banyak.

Dapat percuma waktu ada akaun dengan Poslaju zaman dulu. Akaun tu dah lama tutup. Deposit RM500 pun dah dikembalikan.

Punya lah peram sebab berkeras nak guna sampul kosong sebab tak guna Poslaju dah sekarang. Dok guna SPX dan J&T saja.

Dok menung fikir-fikir balik, baiklah guna.

Dok tunggu apa? Simpan untuk apa? 😅

Benda boleh guna dan boleh jimat.
Gunakanlah wahai Amalina.

Tang tulisan tu, hang pejam mata ja.

Edit skit: Kawan-kawan di Facebook yang baik hati bagi cadangan sangat bernas. Terbalikkan plastik tu, supaya luarnya kosong kelabu. Parcels pun selamat, tak kena reject di drop off point. Lain kali insyaAllah saya pun nak buat macam tu. Wehuu maceh maceh kengkawan ku semua.😍

Thursday, 20 June 2024

Felt Masuk Gudang


Alhamdulillah. Tunggu giliran masuk kontena dan kemudian akan belayar. Bismillah. :)

Friday, 4 August 2023

Seni Kraf Tangan Felt

Saya mula kenal felt craft atau seni kraf tangan felt, 13 tahun lepas sebab mengidam nak menjahit sewaktu hamil anak sulung.

Beberapa tahun selepas tu, memang ramai sangat ibu yang tertarik dengan felt craft. Meriah medsos dengan gambar-gambar seni kraf tangan ni. 

Ada yang buat sebagai bahan bantu belajar anak-anak; buat busy book contohnya. Ada yang buat untuk tambah income keluarga. Ada juga yang jahit felt craft sebagai hobi masa lapang.

Sekarang, saya tak pasti ada lagi ke ibu-ibu yang suka jahit felt craft. Yang pasti, ibu-ibu akan cari kain felt bila anak minta beli untuk siapkan projek seni reka cipta (atau seumpamanya) di sekolah. Betul kan? 😄

Friday, 6 January 2023

Renungan Awal Tahun

Update kain felt setelah sebulan berlalu 
(saya submit order kat supplier 5hb):

Di pihak supplier: ☑️

Di pihak warehouse:

"The port is congested due to the impact of the epidemic, and the new estimated departure date is 08.01.2023" 🤧😅

Pengajaran untuk diri sendiri:

Next time bila nak restock kain, jangan order dua bulan sebelum CNY. Sebaiknya order tiga atau empat bulan sebelum. 🤓

Renungan awal 2023. MASIH dengan berniaga kain felt. MasyaAllah tabarakallah. Bergerak ikut my own leisurely pace. Ada tanggungjawab terhadap keluarga yang wajib diutamakan. Dan saya tak reti bahagi masa sama rata. Lebih banyak masa untuk membangunkan keluarga. ❤️

Monday, 8 June 2020

Timbunan Parcels


Semalam saya pi jugak J&T. Pos parcels untuk siapa yang order Jumaat selepas jam 2pm.

Biasa saya pos minggu berikutnya. Tapi kali ni sebab saya seram kot tak mampu nak handle parcels banyak, saya pun usaha lah selesaikan dulu separuh.

Yang ada di Shopee pagi ni, tinggal banyak ni. Alhamdulillah syukur sesangat hari ni cuti umum. Tak lah stress sangat nak kena rushing kejar masa. 😅

InsyaAllah sekejap lagi saya selesaikan semua parcels yang berbaki. Sambung reply whatsapp selepas habis bab packing ya.

Pos esok pagi. Kalau ada baki butang, saya akan inform di Facebook page Amal Creative dan update semula di Shopee.

Kena follow and like page kami.
Saya prefer update stock di sana.

Ok nak sambung menyelam.
Dalam lautan butang. 😆 

Friday, 7 February 2020

Amal Creative Di Shopee Singapura


Bungkusan pertama.
Bulan pertama.
Order dari Shopee Singapura.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Semoga selepas ini lebih banyak jualan Amal Creative di Shopee Malaysia dan Shopee International. Buat rakan-rakan crafters di Singapura, boleh lawati kedai Shopee kami di link https://shopee.sg/amalcreative.sg. Cuma sayang, produknya tidak dikemaskini seperti Shopee Malaysia.

Monday, 18 November 2019

Tempahan Dari Pekan Rabu

Tiga hari dok tungging terbalik hadap 1000pcs benda halus ni sambil bersilat uruskan rumah😆 Alhamdulillah siap dah. Pos pun dah. Legaaaaa Alhamdulillah.

Semua ni daripada Allah.
Rezqi anak-anak. 

Thursday, 14 November 2019

Testimoni Pin Shawl


"Puan, nak bagi testimoni. Ni saya pakai pin shawl Puan. Bagus jarum dia. Tajam. Senang masuk kat shawl."

Sempat guru kelas Abang Wafiy beritahu Mama sebelum kami beredar. Dalam kekalutan nak mengejar Anas yang dah berlari keluar kelas, Mama cuma senyum dan ucap terima kasih.

Segan pun ya nak ajak muallimah yang comel bergambar dengan Mama. Ada ramai parents lain di belakang sedang menunggu giliran. Hari ni Hari Semakan Prestasi di sekolah Abang Wafiy.

Dah balik rumah, rasa menyesal pula tak bergambar kenangan tadi. Lain kali kena berani, Mama. Ambil gambar 1 minit jer pun. 😅

Wednesday, 13 November 2019

Pelanggan Contoh


Pelanggan contoh.
Contohi beliau. :)

Dapat pm macam ni, insyaAllah laju saya balas. Laju jugak saya nak pos. Plus, rasa nak bagi mystery gift yang best. Sangat memudahkan urusan wahm yang super busy macam saya. 😄😄

Kalau mesej saya bagi salam semata saja, tak dak intro, tak habaq apa, memang kadang tu berjam-jam baru saya reply. Atau tulis 'pm' semata, lagi lah saya krik krik. Maaf ya.

Logik saya, kalau nak barang urgent, mesti dah tanya atau bagi list sesiap nak apa. Tak perlu tunggu saya jawab salam baru nak tanya satu persatu.

Tulis terus, senarai terus nak tanya apa. InsyaAllah saya baca dan jawab sekaligus nanti. Contohi Cikpuan seperti di gambar 😍

Monday, 9 November 2015

Persediaan Menyertai Booth Malaysia Children Islamic Fair 2015


Dari kecil hingga sekarang, anak ini memang ringan tulang. Subhanallah. Sentiasa menghulurkan bantuan walau tanpa dipinta. Foto di atas adalah foto malam tadi. Muhammad Wafiy membantu Mama mengasingkan buttons untuk Mama gamkan di atas flash felt.

Sebenarnya tugasan ini agak memeningkan kepala saya. Ditambah pula dengan jumlahnya yang agak banyak dan mengambil masa saya yang amat bernilai seperti emas.

Elok juga saya agihkan tugasan ini kepada Wafiy. Antara aktiviti yang bagus untuk kanak-kanak. Belajar mengasingkan butang mengikut kategori haiwan. Juga anak-anak dapat belajar mengira.

Baik, untuk pengetahuan semua pembaca yang saya hormati, insyaAllah stok flash felt nombor dengan butang istimewa ini bakal berada di Malaysia Islamic Children Fair 2015 hujung November ini di SACC Mall Shah Alam.

Harga jualan akan diumumkan nanti. InsyaAllah. ;)

Wednesday, 29 October 2014

Cabaran Awal Bekerja Di Rumah


Detik awal keinginan saya untuk menjadi working-at-home-mama (wahm) tercetus ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu, saya sedang bekerja di dalam bidang penyelidikan.

Terlalu banyak perkara berbangkit yang bermain di fikiran. Pengaruh hormon yang tidak stabil juga barangkali turut menyumbang kegelisahan. Daripada soal penyusuan anak, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kewangan hinggalah ke perkembangan sosial. 

Semuanya bercampur-baur, meresahkan jiwa dan akhirnya terdetik di hati kecil: "Kenapa tidak saya sendiri saja yang menjaga anak ini nanti? Bukankah kebanyakan masalah itu akan selesai?".

Sesudah saya berfikir dengan mendalam, meminta pandangan suami dan ibu, disertai dengan solat istikharah memohon petunjuk daripadaNya, hati saya akhirnya lebih cenderung untuk berada di rumah. 

Saya bulat tekad untuk menjaga sendiri anak-anak yang bakal dilahirkan nanti. Namun terselit juga sedikit kegusaran tentang hal kewangan. Maklumlah saya dan suami baru setahun mendirikan rumah tangga. Saya lebih suka berkongsi susah senang bersama suami dalam membangunkan ekonomi keluarga. Maka ada keperluan bagi saya untuk merancang bagaimana saya boleh terus bekerja dari rumah.

Memegang segulung ijazah dan berpengalaman bekerja dalam bidang profesional rupanya menjadi faktor wujudnya cabaran awal bagi saya. Alhamdulillah suami awal-awal lagi sudah memahami dan memberi sokongan tatkala saya menyuarakan hasrat ingin mengusahakan perniagaan dari rumah. 

Namun di kalangan ahli keluarga dan saudara mara yang lain, ramai yang kurang bersetuju. Impian saya dipertikai dan saya diminta menimbang semula keputusan yang diambil sewajarnya. Maklumlah, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan ahli akademik. Tiada seorang pun yang pernah terlibat dengan bisnes dari rumah.

Menjadi wahm dilihat seakan mustahil dilakukan. Satu demi satu soalan bernada negatif dilontarkan kepada saya. Hati terguris dan saya agak kecewa dengan respons yang diberi sedangkan saya mengharapkan sokongan mereka.

Saya tetap positifkan minda dan terus memandang ke hadapan bagi merealisasikan hasrat ingin menjadi wahm. Sokongan, restu dan doa suami serta ibu sudah cukup buat saya kuat untuk memulakan langkah pertama.

Menjadi wahm bererti saya perlu melepaskan gaji tetap bulanan yang selesa. Corak perbelanjaan saya berubah sekelip mata dan situasi itu agak mencabar pada mulanya. Serentak dengan itu, saya perlu lebih bijak berbelanja. Utamakan barang keperluan dan lupakan seketika barang kehendak. Dalam kekangan kewangan, saya menjadi lebih cermat, berhati-hati dan teliti menguruskan wang.

Walaupun suami berpendapatan tetap dan agak selesa, itu bukanlah alasan bagi saya untuk terus-terusan berbelanja tanpa kawalan. Keluarga kami bakal berkembang. Mahu atau tidak, simpanan untuk masa hadapan perlu ada. Bersungguh-sungguh saya merancang perbelanjaan bulanan rumah dan modal awal bisnes yang diusahakan.

Permulaan awal menjadi wahm, saya tidak terlalu mempunyai masalah dengan pengurusan masa. Anak baru seorang. Sifat bayi itu sendiri pula, lebih banyak tidur daripada terjaga. Urusan rumah tangga dan bisnes berjalan secara teratur.

Apabila mula mencecah usia enam bulan, bayi sudah mula mahukan lebih perhatian. Sudah pandai mengajak bermain dan sudah pandai menangis apabila ditinggalkan walau hanya sebentar, cabaran masa mula menguji jadual waktu seharian. Tempahan pelanggan yang semakin bertambah juga membuatkan saya mula tidak menang tangan.

Makan tidak sempat, rehat tidak cukup. Emosi saya pula mula terganggu dek pengurusan masa yang semakin kacau-bilau. Hal itu saya suarakan kepada suami tercinta. Beliau banyak menasihati dan mengingatkan kembali niat asal saya menjadi wahm.

Solusinya, saya hadkan tempahan jahitan dan menyiapkan tempahan di sebelah malam. Siang hari diluangkan sepenuhnya untuk anak. Hujung minggu atau hari cuti pula, suami banyak membantu menguruskan hal anak dan rumah. Jadi saya punya ruang dan peluang untuk menyiapkan tempahan.

Selain cabaran sokongan keluarga, pengurusan kewangan dan pengurusan masa, saya tidak terlepas dari cabaran pengurusan perniagaan. Untuk membina laman web, blog dan email khas perniagaan tidak menjadi masalah kerana latar belakang saya adalah dari bidang teknologi maklumat. Saya juga pernah berbelanja dan melakukan transaksi secara online.

Itu hanya membantu 10% sahaja daripada langkah awal membangunkan perniagaan. Banyak lagi selok-belok perniagaan yang saya belum mahir. Penetapan harga produk kraftangan juga menjadi cabaran. Apatah lagi untuk menguruskan akaun perniagaan. Mencari stok material kraf, mengira modal, mengira perbelanjaan, menguruskan stok material kraf yang dibeli, mengambil tempahan, merekabentuk kraf, menjahit seterusnya menghantar produk siap kepada pelanggan, semuanya dilakukan sendiri tanpa pembantu.

Terlalu banyak perkara baru yang perlu saya adaptasi dalam masa yang singkat kerana tidak disangka-sangka pelanggan semakin ramai. Berurusan dengan pelanggan di alam maya juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun cabaran ini saya terima dengan hati terbuka dan saya banyak belajar daripada pengalaman.

Cabaran awal yang dilalui sebenarnya adalah satu proses untuk mematangkan diri supaya kita benar-benar jelas dan yakin dengan pilihan yang dibuat. Syukur, fasa kritikal yang amat mencabar emosi saya sudah pun berlalu.

Kini hanya pujian dan kata-kata positif menjadi halwa telinga. Ramai juga yang mula bertanya tips dan rahsia untuk menjadi wahm. Setelah lebih 3 tahun menjadi wahm, perniagaan seni jahitan kraf tangan felt yang diusahakan semakin dikenali ramai.

Saya akui memang amat mencabar apabila harus membuat dua tugasan penting serentak. Melayan anak-anak yang semakin membesar di depan mata dan mengendalikan bisnes yang semakin berkembang. Namun alhamdulillah saya tetap usaha positif dan gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang. Semuanya kerana keizinan Allah.

Hidup ini penuh cabaran. Cabaran adalah warna yang menghiasi dan mencorakkan kanvas kehidupan. Memang Allah jadikan dunia ini sebagai tempat untuk manusia diuji. Setiap ujian dan cabaran yang timbul, pasti wujud hikmah di sebaliknya.

InsyaAllah cabaran boleh diatasi dengan ilmu dan pengalaman. Berbahagialah andai kita tergolong dalam mereka yang tenang dan sabar menghadapi cabaran. Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga sebagai ganjaran bagi manusia yang sabar.

Paling penting dalam menghadapi cabaran adalah permohonan doa secara terus-menerus kepada Allah Tuhan Yang Menciptakan kita, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik di setiap langkah kita di dunia. Ketenangan dan kejayaan semuanya daripada Allah.

Thursday, 18 September 2014

Ragam Pelanggan Online

Alhamdulillah Allah izin sudah empat tahun saya bergelar peniaga online setelah lebih sepuluh tahun hanya menjadi pelanggan online.

Pengalaman diri sendiri menjadi pelanggan sebenarnya banyak mencorak dan mempengaruhi cara saya mengendalikan ragam pelanggan yang pelbagai.

Ada pelanggan yang amat mudah berurusniaga, ada juga yang cerewet. Itu semua lumrah hidup manusia. Tidak dapat dielakkan. Malah perlu ditangani secara bijak.

Pelanggan yang mudah berurusan saya cirikannya seperti berikut:

  • Sudah membaca dan memahami dengan jelas setiap terma dan syarat syarikat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tempahan.
  • Membuat penyelidikan awal dengan membaca deskripsi album atau foto produk yang ingin ditempah.
  • Menunjukkan kesungguhan untuk membuat tempahan dengan menghantar mesej ke ruang peti mail untuk perbincangan lanjut.
  • Menyenaraikan dengan terperinci kuantiti dan butiran produk yang ingin ditempah.
  • Faham dengan harga produk kraftangan yang biasanya lebih tinggi dari harga produk kilang.
  • Menyelesaikan bayaran dalam tempoh 24 jam setelah invois diberi.
  • Memberi sepenuhnya kepercayaan dalam proses menyiapkan tempahan dengan tidak bertanyakan status tempahan setiap hari.
  • Sabar menunggu giliran memandangkan item yang ditempah adalah produk kraftangan yang memerlukan ketelitian dan mengambil banyak masa untuk menyiapkannya.
  • Syukur tidak terhingga andai setiap pelanggan yang datang, mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan di atas. Hati pun rasa senang dan tenang untuk menyiapkan tempahan. Saya sendiri mengamalkan perkara yang sama apabila membuat tempahan produk dari rakan-rakan penggiat seni kraftangan yang lain. Faham benar dengan situasi yang mereka lalui. Hampir sama dengan situasi sendiri.

Bagi peniaga online, tidak sah sekiranya tidak menghadapi cabaran karenah pelanggan. Saya sendiri menghadapinya hampir setiap hari. Perkara yang sama dari individu berbeza. Antara cabaran karenah pelanggan yang biasa saya hadapi:

  • Tidak faham terma dan syarat syarikat.
  • Mahu tempahan disiapkan segera.
  • Setiap hari menghantar mesej bertanyakan status tempahan.
  • Mempertikai harga jualan produk.
  • Minta diberikan diskaun dengan kadar yang tidak munasabah.
  • Membandingkan harga produk dengan peniaga lain walaupun jelas kualiti atau material produk peniaga lain tidak sama.
  • Barangan sudah dipos masih belum tiba ke tangan pelanggan atas masalah teknikal pihak pos, tetapi peniaga disalahkan.

Apabila menghadapi pelanggan sebegitu, seboleh mungkin saya akan bertenang terlebih dahulu sebelum membalas mesej pelanggan. Bimbang emosi mendahului akal fikiran memandangkan saya juga insan biasa yang punya hati dan perasaan.

Setelah bersedia, saya akan jelaskan sebaik mungkin kenapa situasi yang kurang menyenangkan pelanggan itu boleh atau mungkin terjadi. Biasanya selepas dijelaskan secara baik, insyaAllah pelanggan akan faham dan menerimanya secara baik.

Tanpa pelanggan, siapalah kita.

Justeru andai diuji dengan karenah pelanggan, anggaplah ia sebagai ujian dan teguran Allah untuk mematangkan diri kita dalam dunia bisnes. Saya doakan diri saya dan rakan-rakan bisnes online yang lain, sentiasa bijak, tenang dan terkawal emosi ketika berhadapan dengan cabaran seperti ini.

Senyum selalu. :)

Saturday, 6 September 2014

Paparan Media: Majalah Ibu & Anak September 2013







Alhamdulillah telah disiarkan di dalam:

Majalah: Ibu & Anak
Edisi: September 2013
Terbitan: Utusan Karya

Terima kasih sekali lagi buat Puan Norhafiza Mohd Zain dan jurugambar Cik Nur Nabila Khalid yang telah hadir bagi merakamkan foto produk-produk kraftangan Amal Creative. :)

Friday, 22 August 2014

Sesi Rakaman Bersama TV Al-Hijrah

Alhamdulillah. 15 Jun 2012 adalah antara tarikh kenangan termanis sepanjang saya melibatkan diri dalam bisnes kraftangan felt. Terkejut dan tidak pernah menyangka bahawa saya akan mendapat tawaran untuk terlibat dalam sesi rakaman rancangan Gen 21 terbitan TV-AlHijrah, sebuah program santai yang memberi fokus kepada remaja. Rakaman ini disiarkan di dalam slot Remaja dan Bisnes.

Saya sempat bertanya kepada Cik Izyan, penolong penerbit rancangan, bagaimanakah Amal Creative ditemui? Jawabnya, melalui carian Google yang membawanya ke blog saya. Sejak itu saya sedar tentang kepentingan dan kegunaan blog sebagai medium yang amat berkesan untuk membina jenama dan mempromosi produk bisnes.

Sesi rakaman berlangsung selepas waktu Zohor. Sebelum itu, Cik Izyan dan Cik Elly membuat persediaan dengan berbual-bual sambil menerangkan kepada saya bagaimana rakaman akan dibuat dan apakah soalan-soalan yang bakal ditanya ketika ditemu bual. Anak sulung saya yang masih kecil ketika itu, dibawa oleh suami masuk ke bilik supaya tiada gangguan bunyi ketika rakaman dibuat. Kipas juga ditutup untuk mengelakkan gangguan bunyi angin. Hingga begitu sekali caranya. Baru saya tahu.

Ada tiga bentuk sesi rakaman. Sesi awal dimulakan dengan sembang santai bersama hos sambil menceritakan produk-produk kraftangan felt dari Amal Creative. Diikuti dengan sesi langkah demi langkah menghasilkan keronsang felt. Kemudian ditemu bual tentang bagaimana saya memulakan bisnes Amal Creative. Dalam masa yang singkat, banyak sebenarnya yang saya kongsikan. Antaranya, bilakah bisnes ini dimulakan, mengapakah kraftangan felt menjadi pilihan, berapakah modal awal untuk menjalankan bisnes ini, apakah jenis produk yang dapat dihasilkan dengan felt, perbezaan fabrik dan macam-macam lagi.

Antara produk keluaran Amal Creative yang disediakan untuk sesi rakaman.

Bersama hos kecil molek, penolong penerbit dan jurukamera rancangan Gen 21.

Sekitar persediaan rakaman dan temu bual.

Syukur Alhamdulillah, terima kasih ya Allah di atas peluang ini. Terima kasih Cik Nurizyan selaku penolong penerbit yang pada awalnya menghantar emel dan mengatur janji temu sesi rakaman. Buat Cik Elly hos yang ramah dan mesra, terima kasih kerana begitu bijak berkomunikasi dan natijahnya berjaya mengurangkan rasa gementar saya yang pertama kali ditemu ramah untuk siaran rakaman televisyen. Terima kasih juga buat jurugambar profesional yang cekap menjalankan tugas. 

Sesungguhnya, banyak pengalaman di belakang tabir yang saya pelajari secara tak langsung sepanjang petang sesi rakaman dibuat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Rakaman ini disiarkan pada Sabtu 23 Jun 2012 dalam episod terakhir rancangan Gen 21. Saya sempat merekod video siaran untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

Friday, 5 July 2013

Dirisik Majalah Ibu dan Anak

Assalamualaikum. :)

Alhamdulillah Rabu 3 Julai 2013 yang lepas, wartawan dan jurugambar dari Utusan Karya telah berkunjung ke teratak kecil kami bagi merakamkan produk kraf felt dari Amal Creative untuk dimuatkan di dalam majalah Ibu dan Anak.

Sesi rakaman gambar bermula.

Brooch comel.

Mini frame comel. Sebenarnya Mal "terpaksa" crop gambar-gambar ni semua. Hee.. :p "Indah" sangat pemandangan dalam rumah kami ni. Sampai ke dinding pun ada hasil karya si Abang Long.

Puan wartawan yang amat peramah. Bagai dirancang, kami semua memakai pakaian bertema ungu pada hari kejadian.

 Cik jurugambar yang amat berdedikasi. Pun memakai pakaian berwarna ungu. :D

Ummi  yang bertudung ungu dan puteri  hati Mal yang baru bangun tidur. Sepanjang tetamu ada, Insyirah tidur saja. Kalau dia terjaga, boleh juga buat photoshoot untuk jadi calon cover page majalah. :p

Putera hati Mal pun ungu juga! :p "Ci ambek bar, Ci ambek bar", katanya. Berebut dengan Mama ni nak ambil gambar. Risau kamera tergolek. Kamera mahal tu nakkk..

Majalah Ibu dan Anak edisi Jun 2013. InsyaAllah slot dari Amal Creative akan dimuatkan dalam edisi September 2013.

Jutaan terima kasih buat Puan Fiza dan Cik Bella yang sudi hadir. :)
Puan Fiza menggayakan brooch kucing comel dari Amal Creative. Tapi apakan daya, kucing tersebut amat pemalu lantas menundukkan wajahnya. Nampak reben di kepalanya saja. Huhu.. :p