Thursday 10 December 2015

Tips Atasi Kedutan Pada Kain Felt

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pernah tak apabila membeli kain felt, tak kira lah felt lembut atau felt keras, keadaan kain yang anda terima kelihatan berkedut atau berlipat-lipat? Apakah perasaan anda apabila menerimanya?


Apa pun perasaan ketika itu, tarik nafas dan bertenanglah.

Tak ada masalah pun sebenarnya kalau kain felt ada kesan lipatan atau kedutan. Sama seperti kain lain, kain felt juga boleh diseterika. 

Material felt mempunyai kemungkinan untuk mengecut apabila terkena haba yang tinggi. Jadi seeloknya, gunakanlah suhu sederhana panas untuk menyeterika kain felt. Atau cadangan saya, lapik dahulu kain felt dengan sekeping kain cotton di atasnya sebelum mula seterika. Cara ini lebih selamat.


Harapnya selepas mengetahui info ini, anda tak lagi runsing jika menerima keadaan kain felt sebegini. Boleh diseterika menjadi licin dan kemudian boleh lah digunakan setiap inci kain tersebut tanpa merasa rugi.

Kepada pembekal kain felt pula, sebelum menghantar kain kepada pelanggan, seeloknya periksa dahulu kondisi kain. Berikan yang terbaik buat pelanggan. Pesanan dan peringatan ini saya tujukan khas buat diri saya sendiri.

Saya faham kadangkala stok kain yang kita borong itu sendiri pun berkedut dan berlipat. Tapi ada baiknya jika kita luangkan sedikit masa untuk seterika sedikit kain felt tersebut sebelum berikannya kepada pelanggan.

Pelanggan yang gembira akan berulang kali membeli dari kita.
Siapa yang untung? Sama-sama untung, Alhamdulillah. :)

Salam Jumaat.

Sunday 6 December 2015

Cuti Sekolah Disember


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca. 

Disember adalah bulan cuti sekolah. Ramai di kalangan ibu bapa biasanya akan mengambil cuti untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Inilah masanya anak-anak dibawa pergi melancong ke pelbagai destinasi sama ada di dalam atau di luar negara.

Anak-anak saya masih belum bersekolah rendah. Cuti sekolah atau tidak, sama sahaja. Tetapi bulan ini saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada bisnes jahitan. Cuti lagi? Soal beberapa orang rakan. Saya hanya membalas dengan senyuman.

Sebenarnya anak bukan alasan rehat berbisnes. Cuma saya sebagai ibu, saya kerapkali berasa tidak senang menumpukan aktiviti bisnes di saat anak-anak aktif mahu belajar meneroka alam. Saya mahu sentiasa sediakan diri untuk bersama-sama mereka. :)

Renung kembali apakah yang mendorong saya menjadi wahm?
Ya, anak-anak. Jadi saya mesti utamakan anak-anak. ;)

Tuesday 1 December 2015

Mama Di Pa&Ma Disember 2015






Alhamdulillah. Terima kasih tim Pa&Ma, Puan Nurseda dan guru saya Puan Masayu Ahmad atas peluang untuk berkongsi cerita dan pengalaman dalam ruang Chit Chat majalah terbitan Disember 2015. Tentang keseronokan dan cabaran bekerja sendiri dari rumah.

Turut bersama saya, dua orang rakan yang juga ibu bekerja dari rumah. Sebelum ini kami hanya bertegur sapa di ruang Facebook. Kami juga masing-masing adalah ahli Akademi Bekerja Dari Rumah kelolaan Puan Masayu. Alhamdulillah Allah beri keizinan untuk bertemu mata buat pertama kali.

Sedikit tambahan cerita: Saya berhenti kerja di luar sahaja. Namun hakikatnya, kini melakukan kerja berganda-ganda banyaknya di dalam rumah sendiri. Homeschooling anak-anak sambil berniaga. Alhamdulillahillazi bi ni'matihi tatimmus soolihat.