Ramadan bakal tiba. Bulan barokah; digandakan pahala ibadah. Istimewa untuk Ramadan, siang hari kita berpuasa. Malam hari diisi dengan solat sunat. Masa dilebih-lebihkan (malam terutamanya) untuk ibadah membaca dan tadabbur al-Quran.
Gandingan Ramadan adalah al-Quran. Ramadan jadi mulia kerana al-Quran diturunkan dalam bulan ini. Jadi bila sebut Ramadan, harus kita terus teringatkan al-Quran.
Penting kita ada perasaan teruja memasuki Ramadan. Kita ada matlamat dan perancangan untuk mengisi 30 hari yang bakal berlangsung. Sekurang-kurangnya, Ramadan kali ini kita usaha jadikannya lebih baik daripada Ramadan kita yang lalu.
Kerja dunia, ya boleh teruskan seperti biasa. Yang luar biasanya, amal ibadah untuk akhirat kita gandakan. Lebihkan daripada kerja dunia pun tidak mengapa. Ramadan bulan sangat istimewa.