Sunday 12 June 2022

BACA - IQRA' - READ

Hari ini 12 Jun 2022 adalah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Bagi seorang pembaca buku tegar seperti saya, terasa agak terkilan apabila tidak dapat menjejakkan kaki ke sana buat sekian kalinya. Selagi ada anak yang masih kecil dan perlu kawalan sepenuhnya, saya memang tidak bercadang bahkan tidak gemar sebenarnya untuk mengunjungi kawasan sesak.

Jadi apa boleh dibuat untuk mengisi masa lapang hujung minggu di rumah? Saya cetak pola yang telah saya siapkan malam tadi. Tema BACA dalam tiga bahasa. Saya ajak anak-anak buat sendiri penanda buku daripada kain felt dengan perkataan BACA di atasnya. Hiasannya terpulang kepada anak-anak. Bahan-bahan semua ada di rumah. :D

Jemput guna templat sederhana yang direka di Canva. Boleh tag saya di Facebook atau Instagram apabila telah siap hasilnya ya. :)

Jika perlukan panduan, boleh ikuti langkah demi langkah buat sendiri penanda buku felt di entri blog yang lepas https://www.amalcreative.com/2022/06/tutorial-penanda-buku-felt.html

Saturday 11 June 2022

Wedding Anniversary


Kebiasaan kami, tidaklah keterlaluan beria-ia menyambut ulangtahun pernikahan. Hanya sekadar meraikan sisi kemanusiaan yang gemar mengingati dan mengenang sesuatu peristiwa bermakna dalam hidup. Alhamdulillah Allah izinkan fasa 10 tahun pertama yang mencabar sudah berlalu. Kini kami berdua sedang bergerak ke fasa seterusnya, meniti usia menuju 40-an. Usia matang seorang manusia.

Tiada lain yang diharapkan melainkan Allah sentiasa membimbing kami berdua di bawah rahmat dan petunjukNya. Kami berharap agar keluarga kami dihimpun dan ditemukan semula bersama kesemuanya di Jannah. Baki usia dan masa yang ada, diusahakan semampunya sebagai bekalan untuk di negeri Akhirat sana.

Petang tadi saya baru terfikir mahu usahakan sesuatu yang istimewa sempena anniversary kami; hiasan sulaman tangan. Memandangkan bahan-bahan dan peralatan menyulam yang sesuai tidak ada, saya hanya dahulukan design di Canva. Bukan pandai mana. Design yang ada pun, diinspirasikan daripada design yang sedia ada di Canva. Saya hanya mix and match. Nanti pindah ke kain, wallahua'lam apa pula jadinya.

InsyaAllah esok-esoklah saya ajak Encik Suami teman ke kedai jahit mencari bahan. Dating berdua ke kedai jahit pun Alhamdulillah lebih daripada seronok rasanya. :)

Friday 10 June 2022

Tips Menghilangkan Bekas Pen Penanda


Jadi selepas ini jangan risau-risau menggunakan water and air erasable pen. Ada cara untuk menghilangkan kesan dakwatnya. Mahu cepat hilang, boleh cuba dua cara yang saya kongsikan dalam video di atas. Atau jika dibiarkan beberapa hari terkena udara, pun insyaAllah ia akan hilang sendiri.

Thursday 9 June 2022

Borong Kain Felt Jun 2022



Alhamdulillah sepanjang tempoh bercuti, Allah izinkan saya sempat selesaikan urusan restock kain-kain felt yang sudah dan semakin surut. Mudah, cepat dan lancar semuanya. InsyaAllah stok kain felt keras semua ini akan tiba paling awal, sebulan daripada sekarang.

Ada sesuatu yang istimewa saya tempah kali ini. Tunggu nanti sampai di tangan, insyaAllah saya maklumkan apakah bendanya. :)

Friday 3 June 2022

Cuti Sekolah


Bermula Jumaat 3 Jun 2022.
Kedai Shopee cuti berehat.

InsyaAllah Jumaat 10 Jun 2022,
kami kembali beroperasi seperti biasa.

Thursday 2 June 2022

Tutorial Kraf Penanda Buku Kain Felt


Assalamualaikum dan salam sejahtera. :)

Kali ini saya mahu berkongsi tutorial penanda buku daripada kain felt. Penanda buku ini dijahit sepenuhnya dengan tangan; tidak perlu menggunakan mesin jahit. Jadi sesiapa sahaja boleh cuba menghasilkannya sendiri.

Bahan-bahan yang diperlukan hanyalah kain felt keras (polyester felt) pelbagai warna, jarum, benang jahit berwarna senada dengan kain, reben untuk dijadikan tali penanda dan juga gam. Langkah-langkah menghasilkannya adalah seperti berikut:


(1) Untuk menghasilkan personalised bookmark, langkah pertama adalah melakar pola huruf mengikut nama anda atau nama yang dikehendaki. Reka bentuk atau font design yang dipilih seeloknya daripada jenis yang sedikit tebal untuk memudahkan kita menjahit di sekeliling huruf tersebut.

Contoh nama saya A-M-A-L-I-N-A, saya hanya perlu lakarkan pola untuk huruf M-A-L-I-N. 
 

(2) Setelah dilakar, pola tersebut digunting satu persatu. Untuk memudahkan kerja, pola dilakar di atas kertas yang sedikit tebal. Jika tiada, gunakan kertas A4 biasa pun boleh sahaja. Dalam masa yang sama, pilih dan tentukan warna kain yang dimahukan.


(3) Pola kertas yang digunting sebelum ini, ditekap pula ke atas kain felt dengan menggunakan air erasable pen atau water soluble pen. Dakwat warna pen ini akan hilang apabila terkena udara atau terkena air. Jadi jangan risau menggunakannya kerana tidak akan meninggalkan bekas pada hasil akhir kraf kita.


(4) Huruf digunting satu persatu mengikut warna pilihan. Boleh pilih sama ada mahu campur-campur warna atau menggunakan satu warna sahaja. Terpulang kepada citarasa anda. Tips untuk mendapatkan guntingan yang kemas atau clear cut, gunakan gunting besi yang benar-benar tajam dihujungnya. InsyaAllah guntingan tidak berbulu.


(5) Setelah siap kesemua guntingan huruf nama, huruf tersebut disusun atur di atas kain felt yang akan dijadikan tapak atau background. Pilih warna yang kontra supaya susunan nama kelihatan naik dan menarik. Kemudian, huruf tersebut dilekat di atas kain dengan menggunakan sedikit gam. Jangan gam di kawasan keliling huruf di tempat yang kita akan jahit supaya gam tidak mengeras dan menyukarkan proses menjahit nanti.


(6) Beginilah contoh susunan nama di atas kain yang akan dijadikan tapak. Di sekeliling nama, lebihkan sedikit ruang lebih kurang 0.5cm supaya dapat kita jahit jahitan insang pari. Tapak digaris dan ditanda dengan pen penanda. Seterusnya tapak tersebut digunting.


(7) Hujung bucu setiap tapak kain, saya suka guntingkan membulat untuk memudahkan jahitan dan kelihatan lebih menarik. Kemudian boleh mula jahit huruf nama satu persatu. Saya memilih jahitan kia kerana jahitan ini kelihatan seperti jahitan mesin jahit. Gambar ini adalah gambar di belakang jahitan kia.


(8) Beginilah rupa akhir di belakang kain setelah kesemua huruf dijahit.


(9) Ini pula rupa di bahagian depan atau bahagian atas kepingan kain felt tersebut. Semua huruf dikemaskan dengan jahitan kia. Gunting sekeping lagi tapak kain bersaiz serupa. Tujuannya untuk menutup bahagian belakang jahitan tadi dan untuk membuatkan penanda buku lebih kukuh (sturdy).


(10) Sebelum mencantumkan kedua-dua kepingan tapak kain menggunakan gam, selit dan lekatkan dahulu reben di bahagian 'kepala' penanda buku. Kemudian gamkan di bahagian tengah. Elakkan gam terkena di kawasan tepi-tepi bahagian yang akan dijahit.

Selepas itu bolehlah kemaskan keliling penanda buku dengan jahitan insang pari. Saya hanya menggunakan benang dua lapis. Boleh juga menggunakan benang empat lapis jika mahu dan suka.


(11) Inilah hasilnya setelah kita kemaskan jahitan sekeliling dengan jahitan insang pari. Penting untuk menggunakan kain felt jenis keras yang berkualiti supaya hasilnya cantik dan kemas terletak. 




Saya harap tutorial langkah demi langkah ini dapat membantu anda menghasilkan sendiri penanda buku felt yang comel dan menarik. Kain felt keras atau polyester felt pelbagai warna yang berkualiti boleh didapati menerusi Shopee Amal Creative.

Setelah cuba dan siapkan penanda buku felt nanti, jangan lupa tag saya di Facebook Amal Creative atau Instagram Amal Creative (@amalcreative). Boleh juga kongsikan link entri blog ini dengan kawan-kawan anda. :) Selamat berkarya!

[Kemaskini 1 Mac 2024]

Anda boleh dapatkan kain felt berkualiti di kedai Shopee kami. Berikut disertakan link untuk memudahkan pilihan.

Kain felt 1mm variasi hitam putih, merah, jingga dan kuning:

Kain felt 1mm variasi hijau, biru dan ungu:

Set kain felt 1mm semua 33 warna:

Kain felt 2mm (lebih tebal):

Kain felt 1mm bercorak (corak snow/heart/polkadot/flower):

Kain felt 1mm putih gulung (meter):

Wednesday 1 June 2022

Freebies: Templat Nama Wanita Terbaik Dunia

Bagi pemilik empat nama istimewa berikut, saya kongsikan di sini templat nama percuma. Mengapa saya katakan nama-nama ini istimewa? 

Jom kita sama-sama baca hadith Nabi SAW:

عَنْ أَنَسٍ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ 
 حَسْبُكَ مِنْ نِسَاءِ الْعَالَمِينَ مَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ 
وَفَاطِمَةُ ابْنَةُ مُحَمَّدٍ وَآسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْن

Dari Anas bahawasanya Nabi SAW bersabda, ""Cukuplah sebagai keteladanan bagimu dari wanita dunia itu Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan 'Asiah istri Fir`aun." (HR. Ahmad: 11942)


Inilah dia empat wanita yang Nabi SAW sebutkan, yang menjadi contoh dan teladan buat kita semua para wanita. Bila diuji dengan lelah dalam kehidupan, empat wanita inilah wajar kita jadikan rujukan. 

Pesanan ini saya tujukan khas buat diri sendiri yang menulis. Sebab semalam saya katakan saya stress. :) Bila Allah lorongkan saya menulis dan berkarya begini, mungkin itulah cara Allah menegur dan membimbing saya. Subhanallah. Sendiri terasa.