Sunday 17 August 2014

Bahan Dan Peralatan Asas Mula Kraf Felt

Bagi anda yang berminat dan ingin mula menjahit kraf tangan felt, berikut adalah panduan senarai bahan dan kelengkapan asas yang perlu anda sediakan.


Bahan-bahan:

1) Kain felt
Sebelum ini saya ada sebutkan tentang dua jenis felt yang biasa digunakan di Malaysia. Felt poliester dan felt akrilik. Jadi pilihlah jenis kain yang sesuai mengikut projek jahitan yang bakal dijalankan.

2) Fiber
Digunakan untuk mengisi ruang dalam pola rekaan yang dijahit. Bersifat ringan dan boleh dibeli di kedai alat jahitan dengan harga yang murah. Jika tiada fiber, kekabu juga boleh digunakan.

3) Mounting board atau kadbod keras
Jika ingin menghasilkan rantai kunci nama atau bingkai gambar misalnya, mounting board ini digunakan di bahagian dalam kain felt sebelum dijahit.

4) Benang
Untuk jahitan felt, penggunaan benang jahit kain biasa sudah memadai. Jika ingin hasilkan kesan jahitan yang nampak tebal, gandakan sahaja lapisan benang yang ingin digunakan.

Peralatan-peralatan:

1) Gunting
Peralatan paling penting yang digunakan untuk memotong felt. Gunting haruslah dipastikan sentiasa tajam supaya potongan pola felt yang kemas dapat dihasilkan. Sediakan satu gunting khas untuk memotong kain dan satu gunting khas untuk memotong pola kertas.

2) Jarum
Jarum yang digunakan haruslah bersesuaian dengan ketebalan fabrik felt yang akan dijahit. Untuk ketebalan sederhana, biasanya saya gunakan jarum yang digunakan untuk menjahit manik. Tujuannya agar jahitan nampak halus dan kemas.

3) Gam UHU
Kesan lekatannya kuat jika digunakan untuk mencantumkan kain felt sesama kain felt.

4) Gam tembak
Kesan lekatannya kuat dan lebih sesuai digunakan untuk melekatkan butang, reben atau hiasan tambahan ke atas kain felt.

5) Pensel penanda
Untuk kain felt yang berwarna gelap seperti hitam, penggunaan pen penanda berwarna putih amat membantu. Namun sekiranya menggunakan pensel penanda, pastikan bahagian yang bertanda adalah bahagian yang akan berada di sebelah dalam jahitan. Kesan tandanya agak sukar dihilangkan dan boleh mencomotkan hasil akhir produk kraf.

6) Pen penanda
Penggunaan pen penanda khas ini amat digemari di kalangan pengusaha kraf tangan felt. Sifat kesan pen yang boleh terpadam dengan sendiri apabila terdedah kepada udara, memudahkan lagi kerja menghilangkan kesan tanda yang tidak diingini. Jika ingin hilangkan kesan tersebut dengan lebih cepat, tekapkan bahagian yang bertanda dengan sedikit air.

7) Pen
Digunakan untuk melakar dan melukis pola secara bebas mengikut kreativiti sendiri.

8) Pola atau template
Ada pelbagai cara untuk hasilkan pola kraf tangan felt. Cara yang paling baik untuk menghasilkan produk felt yang asli dan beridentiti adalah dengan melukis sendiri polanya. Pola juga boleh dibeli secara atas talian. Cara yang paling biasa dilakukan adalah mencari gambar rekaan yang diingini menerusi carian Google. Cetak gambar tersebut dan guntingkannya untuk dijadikan pola.

No comments: