Tuesday 31 May 2022

Freebies: Templat Nama AMALINA

Hari ini saya terfikir mahu jahit sesuatu menggunakan kain felt. Jadi teringin yang teramat-amat. Bukan mengidam ya. Cuma perasaan yang memang biasa kadangkala datang secara tiba-tiba. Paling saya perasan, dia datang bila saya terlalu stress dengan rutin kerja di rumah. Saya mahu buat sesuatu yang berbeza. Yang saya suka tetapi saya terpaksa tinggalkan kerana memenuhi tanggungjawab utama.

Ahah, panjang mukaddimah pun. <<< Ciri-ciri stress.

Saya teringat satu projek yang belum sempat saya buat, iaitu penanda buku felt. Saya mahu jahit penanda buku yang tertulis nama sendiri. Laju-laju saya buka Canva, taip nama dan scroll pilih design yang saya berkenan. Ada sembilan kesemuanya. Belum buat keputusan yang mana saya mahu guna. Jadi susun siap-siap seperti ini di dalam softcopy. Mudah nanti boleh buat rujukan di masa hadapan.

Saya simpan juga dalam bentuk PNG file dan kongsi di blog ini. Sesiapa yang bernama Amalina, Amal, Lina, Lin atau Ina bolehlah guna untuk dijadikan craft template. :) Entri seterusnya insyaAllah saya tunjukkan apa projek yang saya mahu buat dengan templat nama ini.

Saya boleh juga buatkan nama lain. Sembilan jenis font yang sama + ekstra lima jenis font tambahan. Satu file A4 size = RM5. Jika berminat, boleh whatsapp saya, 010 903 4560. InsyaAllah boleh siap dalam masa 24 jam atau bila saya memang lapang, 10 minit pun boleh terus beri. Sudah siap design, saya hantar semula ke whatsapp atau boleh juga beri email. Ok, ini idea tiba-tiba. :D

Monday 30 May 2022

Kemaskini Inventori


Alhamdulillah. Minggu ini adalah minggu yang agak lapang untuk saya tumpukan kerja-kerja mengemaskini inventori Amal Creative. Banyak stok barangan sudah susut atau sudah habis sepenuhnya. Memang perlu untuk saya tempah semula.

Kain felt contohnya, ada beberapa warna sudah habis. Kami sendiri sudah lima bulan tidak mengambil stok baru berikutan kemerosotan dan kelembapan jualan. Keadaan semasa di dalam negara memainkan peranan besar. Saya perlu peka dengan peristiwa-peristiwa, isu semasa dan cuti umum di Malaysia. Kelonggaran SOP bermula 1 Mei 2022 bagi menuju ke fasa endemik sedikit sebanyak ada impaknya terhadap perniagaan kecil kami.

Saya yakin Allah pasti ganti dan beri yang lebih baik selepas ini. Melihat sudut positif apabila sesi persekolahan boleh berlangsung seperti biasa dan ramai yang boleh kembali bekerja di luar, insyaAllah permintaan terhadap barangan kraf akan kembali meningkat. :)

Jadi hari ini saya menghubungi pembekal kain felt kami; bertanya khabar dan bertanya situasi terkini di kawasan beliau. Alhamdulillah saya sangat lega dan gembira apabila beliau memberitahu saya boleh membuat tempahan seperti biasa. Barangan boleh dihantar ke gudang untuk dihantar ke Malaysia.

Sunday 29 May 2022

Jenis-Jenis Kain Felt

Kain felt adalah sejenis fabrik yang versatil; mudah disesuaikan untuk pelbagai kegunaan dan fungsi. Ia mudah diurus dan mudah dikendalikan. Inilah faktor utama mengapa kain felt amat popular di kalangan peminat kraf tangan khususnya kraf jahitan kreatif.


Secara umumnya di Malaysia, kain felt yang digunakan untuk kraf tangan terdiri daripada dua jenis: Felt poliester dan felt akrilik. Jadi apa perbezaan kedua-dua jenis felt tersebut?

Jenis-Jenis Kain Felt

(1) Kain felt poliester / polyester felt / felt keras
  • Dikenali juga sebagai felt keras.
  • Bersifat kesat, keras, tahan lasak dan kurang berbulu.
  • Mudah dipotong, sama ada menggunakan gunting atau cutter machine.
  • Mudah dijahit menggunakan tangan, mesin jahit biasa dan mesin jahit sulam.
  • Sesuai untuk menghasilkan produk bahan bantu belajar kanak-kanak, rantai kunci (keychain), penanda buku, sarung telefon bimbit, bingkai gambar, hiasan dekorasi rumah, bekas sarung pensel dan hiasan (applique) di baju.
  • Juga sesuai untuk dicetak (printing) menggunakan proses pencetakan sublimasi. 
  • Tidak sesuai untuk dijadikan pakaian atau bantal kerana sifatnya yang kaku.

(2) Kain felt akrilik / acrylic felt / felt lembut
  • Dikenali juga sebagai felt lembut.
  • Bersifat lembut, mudah dilentur, mudah dibentuk dan agak berbulu.
  • Mudah dipotong cuma tidak menghasilkan clear cut.
  • Boleh dijahit walaupun agak mencabar untuk dikendalikan.
  • Sesuai untuk menghasilkan gubahan bunga hiasan, kerongsang, buah-buahan 3D, permainan kanak-kanak (soft toys), pin cushion dan bantal hiasan.
  • Tidak sesuai untuk produk yang memerlukan tekstur keras dan tegap atau clear cut seperti applique, potongan huruf-huruf, penanda buku atau bekas sarung pensel.
  • Tidak sesuai untuk dicetak (printing) menggunakan proses pencetakan sublimasi.

Kedua-dua jenis fabrik ini adalah 100% sintetik, diproses dan dihasilkan di kilang. Kain felt datang dalam pilihan pelbagai warna dan ketebalan. Felt dijual dengan harga yang berpatutan, dalam saiz potongan kecil atau pun dijual dalam ukuran meter atau yard.


Di mana anda boleh mendapatkan kain felt keras untuk projek kraf?
Boleh dapatkan di Shopee Amal Creative. :)

Saturday 28 May 2022

Kemaskini Blog

Alhamdulillah hampir 80% penulisan dan foto daripada laman Facebook dan dua blog lama telah saya pindah masuk ke blog ini. Kerja yang agak renyah dan mengambil masa.

Saya mula menulis blog kraf felt pada tahun 2010 dengan menggunakan nama Kraf Malinja. Mulai 4 Mei 2012, saya mengambil keputusan untuk rebranding dan memilih nama Amal Creative yang saya guna pakai hingga sekarang.

Jadi watermark foto-foto entri blog untuk tahun 2010-2012, kebanyakannya menggunakan nama Kraf Malinja. Hanya sebahagian kecil yang telah saya ubah menggunakan watermark Amal Creative.

Ada terlalu banyak foto yang saya muat masuk di Facebook sewaktu saya tidak aktif menulis blog. Tidak semua yang akan saya bawa masuk ke sini. Saya hanya pilih mana yang perlu dan sesuai.

Mengapa kembali berblog?

Faktor utama mungkin kerana usia yang semakin bertambah. Laman Facebook terasa 'amat bising' dan memeningkan kepala. Saya tidak lagi mampu menyerap tenaga yang terlalu tinggi di Facebook. Terasa letih. Sekarang saya lebih selesa tenang-tenang mahu menulis di blog. :)

Impian menghasilkan ebook belum lagi tercapai. Bertahun-tahun saya mencari punca. Alhamdulillah kini Allah izinkan saya mendapat jawapannya. Kepada Allah jua saya mohon harapan dan pergantungan agar akhirnya saya benar-benar dapat merealisasikan impian besar ini sebelum saya menutup mata.

Suatu hari nanti akan tiba masanya anak-anak saya membaca blog ini. Atau mungkin juga cucu-cucu. Harapan saya, ada sesuatu di sini yang boleh mereka manfaatkan kelak. Sama ada ilmu kraf atau ilmu mula berniaga.

Bismillaahirrahmaanirrahiim. Dengan ini insyaAllah saya kembali aktif di sini. :)

Monday 2 May 2022

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum. Selamat Hari Raya Aidil Fitri
buat semua pelanggan kami yang beragama Islam.
Semoga amal ibadah kita pada Ramadan yang lepas,
Allah terima dan kita tergolong daripada hamba-hambaNya
yang bertaqwa, serta dikumpulkan bersama di Jannah.

-Amal-