Showing posts with label Mula Bisnes Kraf Felt. Show all posts
Showing posts with label Mula Bisnes Kraf Felt. Show all posts

Wednesday, 21 September 2022

Random Biz Thought

Guna mana-mana e-commerce platform pun, mesti ada fee. Banyak atau sikit. Cepat atau lambat saja. Kita ni tumpang guna kemudahan dia. Ada limitasi untuk hal tertentu walau kita tak setuju.

Yang penting, kita letak harga yang memang dah ambil kira kos terlibat sejak awal-awal lagi. Tak tahu it's ok. Benda boleh belajar. Dalam hidup memang fitrah adanya proses dan kita perlu terus belajar tanpa henti.

Untuk saya cuba survive perniaagan sendiri biiznillah, saya fikir ada dua pilihan. Naikkan harga atau kecil/kurangkan saiz produk/pakej. Saya apply both cara; tapi untuk produk berbeza. Ikut kesesuaian dan keuntungan yang bakal dapat.

In case tak boleh juga, tarik diri daripada platform. Jual macam biasa melalui Whatsapp contohnya. Saya tak boleh sangat buat cara ni. Lebih suka bertahan di platform sama buat masa sekarang selagi ada untung sikit dan tak jejas tugas utama sebagai isteri dan ibu. Saya memang tak boleh kompromi tugas penting ni demi nak kembangkan bisnes.

Satu lagi terfikir, siapa yang main game pancung harga di e-commerce platform untuk tarik customers dan benamkan pesaing, lambat laun diri sendiri yang terjerat. Platform tetap dapat untung yang dia nak. Kita tu lah.. 😶 Putih mata.

Saturday, 13 March 2021

Kelas Akhir The Growth X Batch Pertama

Kelas akhir The Growth X batch pertama bersama Hasbul Brothers. Alhamdulillah untuk pengalaman dan peluang yang Allah izin hampir setahun.


Saya upgrade pakej setelah menerima hadiah pakej basic. Topik-topik masterclass yang mereka tawarkan adalah apa yang selama ini saya mahu dan perlu tahu untuk Amal Creative.

Paling saya suka, HB sangat tak gemarkan strategi-strategi murahan yang memanipulasi emosi dan kelemahan wanita.

HB sangat tekankan authentic business strategies. Great product, great service and great experience adalah keutamaan. Saya lebih selesa dengan pegangan ini. Bagi saya, ia lebih mematuhi saranan agama kita.

Ada tiga tindakan drastik yang saya terus buat selepas menghadiri kelas:

1) Saya drop semua bisnes kecuali tinggalkan hanya satu untuk saya betul fokus. Saya pilih Amal Creative semestinya.
2) Saya pastikan saya fokus kuasai satu sahaja channel dalam masa setahun ini. Saya pilih Shopee.
3) Berusaha menjaga customer happiness.

Banyak lagi saya masih perlu buat.
InsyaAllah akan terus belajar.

Terima kasih Hasbul Brothers.

Monday, 19 October 2020

Kos Tersembunyi?


Wondering. Apa yang customer nak buat dengan tiga helai kain felt keras ni. Pilihannya, kombinasi warna pastel lembut. Soft grey, baby blue and white. Sweet. Pandai betul pilih. Suka saya tengok.

Macam dok terbayang-bayang something untuk baby boy. Toys atau frame bilik? Terfikir tu ja lah.

Saya ni, orang order tiga helai pun saya gulung dalam bubble wrap. Encik Suami sokmo bebel kenapa buat gitu. Ada caj bubble wrap dan selotep tak? Ada letak moq tak untuk orang order kain? Beliau tanya.

Agaknya dok nampak saya put extra effort bila dok bungkus tu. Punya lah jaga tak mau bagi kain terlipat atau renyuk bila customer dapat.

Fikir-fikir balik, betul juga cakapnya. Kain ni berapa ringgit saja. Saya balut dengan bubble wrap dan selotep kemain lagi. Sampul pun guna sampul besar. Semua tu hidden cost. Tolak pi tolak mai, tak sedar pun sebenarnya tak untung langsung.

Lagi teruk kalau sebenarnya rugi.

Berniaga nak apa sebenarnya, Amalina?

Teringat pula cikgu saya pesan, nak sangat bantu orang bukan dengan cara kurangkan harga. Bagi free lah terus. Dok pi ganggu harga market sedia ada. Itu menyusahkan hidup lebih ramai orang khususnya kawan-kawan sesama peniaga. Niat tak memurnikan cara.

Loser saja yang selalu main perang harga. Dia tak ada cara lain nak buatkan orang datang membeli selain offer harga paling murah.

Menung saya pun.

Tersekat rasa nak telan air liur.

Pelan-pelan saya angguk kepala.

Monday, 5 October 2020

Printer Untuk Cetak Shopee Airway Bill

Barang wajib ada untuk berniaga di Shopee adalah PRINTER. Ada pelbagai jenis mesin pencetak dengan spesifikasi berbeza di luar sana.

Saya pilih laser monochrome printer jenama Brother, model HL-1210W. W bermaksud ada wireless function. Boleh cetak tanpa perlu sambungkan laptop. Hanya gunakan aplikasi di smart phone untuk cetak dokumen yang diperlukan.


Sebelum beli apa-apa printer, sebaiknya kita jelas kita beli printer untuk kegunaan apa. Perlu kah printer berwarna? Perlu kah printer dengan fungsi scan?

Saya perlukan printer untuk cetak dokumen hitam putih saja. Jadi printer compact dengan fungsi asas sudah cukup memadai.

Model ni mudah saja nak set up. Print speed bagus. Laju. Rupa paras kemas dan comel. Ringan. Mudah saya nak alih untuk sapu habuk bila mengemas.

Harganya RM295 waktu saya beli. Mampu milik. Sangat sesuai untuk kegunaan mereka yang baru mula nak berniaga online.

Hampir setiap hari saya gunakannya untuk print air waybill Shopee dan dokumen-dokumen kerja. Guna untuk print worksheet anak-anak pun ya.

Bagi yang masih tercari-cari printer untuk kegunaan home office, boleh pertimbangkan printer Brother HL-1210W.

Selama dua tahun guna, Alhamdulillah baik-baik saja. Tak ada masalah.

Saturday, 25 April 2020

Nota Seminar GYB Hasbul Brothers

Nota daripada Seminar Grow Your Business.
Oleh Hasbul Brothers. 22 April 2020.


Bila buat bisnes, kita mesti ada GYB:

[G] Goal
Beranikan diri tulis matlamat di luar keselesaan kita. Bila terjun ke dunia bisnes, kita bukan nak hidup biasa-biasa.

[Y] Big Why
Mesti jelas. Apa motivasi utama bisnes yang dilakukan sekarang? Mahu rumah besar? Kereta idaman?
Motivasi bersifat materialistik adalah motivasi rapuh. 
Motivasi yang kekal lama disandarkan kepada nilai kemanusiaan dan mampu menyumbang kepada agama.
Kita hidup di dunia untuk beri value pada orang sekeliling.

[B] Berani Bertindak
Matlamat dan motivasi saja tidak cukup. Mesti ada keberanian untuk bertindak dan berubah. 

Antara nota sentapan yang sempat dicoret:

"Andai bertahun-tahun buat bisnes tapi masih gagal menyimpan duit, kita bukan buat bisnes. Tapi buat penat."
"Ekonomi lembap tak apa lagi. Namun jika otak dan tindakan kita lembap, itu masalah besar."
"Orang berilmu belum tentu beradab. Orang beradab sudah tentu berilmu."
"Antara fasa paling bahaya dalam bisnes: Fasa pertama kali berjinak-jinak dengan duit yang banyak. Kita mudah menjadi orang lain."
"Alas paling buruk dalam dunia adalah alasan yang kita cipta untuk sedapkan hati kita."

Dan lagi.

"Success requires energy."
"Mata helang nampak peluang. Mata lalat nampak masalah."
"Orang lain pandang rendah pada kita tak apa. Ia tak beri kesan apa-apa selagi mana kita tak pandang rendah pada diri sendiri."
"Perlu ada kebaikan diri yang disembunyikan untuk memupuk kerendahan hati sebagai hamba. Simpan kebaikan sepertimana kita simpan keburukan."

Renung-renungkan.
Fikir-fikirkan.

#BangsaPejuang
#HasbulBrothers

Friday, 13 September 2019

Soalan Lazim Tentang Kraf Felt

Baik, sebagai permulaan.

Saya nak kongsi dulu FAQ atau soalan paling kerap ditanya berkenaan kraf felt. Soalan ni semua saya sendiri biasa dapat. Sama ada melalui Facebook, Whatsapp, Instagram mahupun komen di blog.

Contoh soalan:

Apakah itu kain felt?
Berapa jenis kain felt?

Apakah kegunaan kain felt?
Apakah contoh kraf menggunakan felt?
Apakah jenis produk kraf felt?
Contoh produk felt terbaru 2019?

Bagaimana mahu jahit felt?
Apa jenis jahitan sesuai untuk kraf felt?
Bagaimana nak mula jahit felt?
Tutorial kraf felt?
Projek ringkas menggunakan felt?

Apa alat dan bahan untuk mula jahit kraf felt?
Ada tak starter kit untuk kraf felt?

Kain felt dijual di mana?
Kain felt boleh dibeli di mana?
Apa link online shop yang menjual felt?
Di mana kedai fizikal yang menjual felt?
Di mana boleh borong kain felt?
Penjual dan pemborong kain felt Malaysia?

Yang lagi advance, soalannya seperti berikut:

Bagaimana nak mula bisnes kraf felt?
Bagaimana nak iklankan dan jual produk kraf felt?
Siapa target customer kraf felt?
Apakah produk felt yang paling laris dijual?
Produk hari guru menggunakan kraf felt?
Bahan bantu belajar menggunakan kain felt?

Banyak lagi soalan sebenarnya.

InsyaAlah selepas ini saya akan kongsi dan cerita satu persatu. Senang. Lain kali bila ada yang tanya, Amal minta baca terus dan rujuk di blog ni. Semua maklumat ada insyaAllah.

Panduan Asas Kraf Felt di Amal Creative.

Tuesday, 1 January 2019

Amal Creative Sweethearts


Di Facebook ada group tertutup untuk Amal Creative. Idea asal saya buat group ni untuk let go barang kraf yang dah lama sangat dalam simpanan. Dulu suka shopping material kraf banyak-banyak. Lebih-lebih lagi butang. 

Asal nampak comel, semua pun nak beli. Beli banyak pula tu. Gunanya belum tentu. Aduhhh. Zaman memboros dah berlalu. Dah insaf dah sekarang. Haha. 

Namun sebenarnya itu lah titik mula saya mula supply material kraf pula instead of hanya mengambil tempahan. Dah alang-alang memborong butang, mengapa tidak saya jual juga butang. Lagipun memang ada saja yang bertanya di mana nak beli butang yang serupa saya guna. 

Berbalik kepada cerita Facebook group. Sekarang ada lebih 600 orang ahli di dalamnya. Ada yang nak join? Boleh klik link di sebelah: https://www.facebook.com/groups/amalcreative. InsyaAllah nanti saya approve ya.

Tahun 2019, saya cadang nak manfaatkan group ni untuk perkongsian ilmu dan juga offer preorder items secara berkala. Mana tahu ada yang mungkin nak cuba bermiaga material kraf. Boleh cuba borong dalam kuantiti yang tidak membebankan.

Doakan tahun ini saya dapat bantu lebih ramai isteri atau ibu di rumah yang mahu mula buat duit dengan kraf khususnya kraf felt. Nak kata susah, tak susah. Nak kata senang, kena lah ada ilmu. Baru mudah nak susun strategi berniaga.

Monday, 13 February 2017

Aplikasi Edit Gambar Percuma

Edit gambar. Sejenis pekerjaan yang agak renyah dan mengambil masa. Tetapi ini lah dia antara perkara yang paling saya suka dan seronok mahu buat.

Aplikasi kegemaran saya untuk photo editing di smart phone ialah Snapseed, Phonto dan PhotoGrid. Kadang-kadang saya guna Canva. Canva lebih selesa digunakan di laptop.

Penting ke edit gambar supaya tampil menarik? Ya sangat penting. Bila berniaga secara online, pelanggan bergantung kepada gambar yang kita paparkan sebelum membuat keputusan sama ada mahu membeli atau tidak.

Jadi gambar yang menarik dan kemas, adalah antara faktor utama yang boleh mempengaruhi keputusan pelanggan nanti.

Dua gambar contoh di bawah ini, saya edit untuk kami letak di Instagram.


Jemput Follow Instagram kami juga. Cari saja nama amalcreative. :)

Monday, 16 January 2017

Mula Perniagaan Pertama

Mahu mula berniaga buat kali pertama?

Mula dengan apa yang ada di tangan. Ini disebut berulang kali oleh mereka yang sudah lama dan  berpengalaman luas dalam industri perniagaan masing-masing.

Tidak perlu meminjam (berhutang).
Tidak perlu modal besar.

Bak kata Puan Husna Adnan dalam ebook Bisnes Kecil Mindset Besar, "Terus lakukan perkara yang menjadi kekuatan kita".

Contoh:

Puan Asiah pandai menjahit jahitan asas.
Puan Asiah boleh mula berniaga kraf felt.

Puan Maryam pandai menjahit beg menggunakan mesin jahit.
Puan Maryam boleh mula jual beg tote serbaguna.

Puan Khadijah pandai mengurut.
Puan Khadijah boleh mula tawarkan servis urutan ibu berpantang.

Puan Aisyah pandai memasak.
Puan Aisyah boleh mula jual menu sarapan pagi.

Jadi, ambil masa untuk duduk sebentar dan mula berfikir. Apa perkara yang aku mahir lakukan? Apa perkara yang aku boleh tawarkan? Apa produk atau servis yang aku boleh beri dengan setakat apa yang  ada di tangan sekarang?

Fikirkan. :)

Thursday, 12 November 2015

Manfaatkan Pemasaran Percuma

Rujukan: Ebook 10 Langkah Mudah Bina Kedai Online.

Ada banyak cara untuk menggunakan peluang memulakan bisnes tanpa perlu mengeluarkan modal. Kebanyakan usahawan baru terlalu fokus kepada tidak ada modal, tidak ada pengalaman dan tidak tahu untuk bermula dari mana.

Berikut beberapa langkah yang boleh diambil untuk bermula:

1. Kenalpasti dahulu apa minat yang boleh dijadikan satu permulaan untuk berniaga.

Anda minat dan ada kemahiran menjahit? Apakah jenis jahitan yang anda mahir? Kraf felt? Jahitan beg? Jahitan baju bayi dan kanak-kanak? Jahitan jubah dewasa? Jahitan seluar? Jahitan langsir? Sulaman? Quilting? Anda boleh jadikan bisnes jahitan kreatif ini sebagai bisnes pertama. Jika mahu mula bisnes kraf felt, boleh dapatkan khidmat nasihat dari saya sendiri atau baca asas jahitan kreatif ini di blog amalcreative.com ;)

2. Kenalpasti siapa pelanggan dan apa produk.

Golongan yang paling kerap membeli belah secara online adalah dari golongan ibu bekerjaya. Ibu suri pengurus rumah tangga juga tidak kurangnya. Kerap melayari internet untuk mencari bahan bantu belajar untuk anak-anak. Jadi buatlah sedikit penyelidikan dan ambillah peluang ini untuk menghasilkan produk-produk yang sentiasa mendapat permintaan dari golongan ini.

3. Fokus kepada pemasaran.

Pemasaran bukan sekadar menjual dan memperkenalkan jualan. Kenalpasti kehendak, keperluan dan permintaan pelanggan. Trend pelanggan sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Pelanggan perlu kenal dan faham produk yang ditawarkan. Kaedah promosi yang berkesan dan memberi impak signifikan amat diperlukan supaya mendapat perhatian pelanggan. Seterusnya barulah mereka cenderung untuk membeli.

4. Tidak mengeluarkan produk. Tetapi belajar untuk memasakan produk yang sudah sedia ada di pasaran. Kuasai pemasaran asas yang sangat membantu pemasaran produk dan bisnes.

Jika anda tiada kemahiran atau bakat tertentu yang boleh dijadikan bisnes pertama, usah khuatir. Mulakan dengan belajar memasarkan produk orang lain yang sedia ada  dan sememangnya sudah laku keras di pasaran. Belajar bagaimana untuk mendapatkan RM1 pertama, diikuti RM10 pertama, RM100 pertama dan RM1000 pertama anda. Kemahiran ini perlukan ilmu dan perlu dilakukan secara konsisten sebelum membuahkan hasil.

Kuasai pemasaran asas yang sangat membantu pemasaran produk dan bisnes.

Memanfaatkan laman sosial:

(1) Blogspot

Salah satu tapak awal yang boleh digunakan untuk mempromosi bisnes dan produk. Kenalpasti produk dan kenalpasti siapa pembaca atau pelanggan. Blogspot boleh dijadikan sebagai medium asas pemasaran yang boleh diterokai usahawan yang masih baru. Ia bukan sahaja sebagai tapak pemasaran, malah ia boleh digunakan sebagai agen pemasaran percuma yang memberikan impak luar biasa. Blogspot boleh dijadikan sebagai diari bisnes untuk usahawan dan juga boleh digunkan untuk membina kedai online. Kosnya adalah percuma dan boleh digunakan secara berterusan selagi mana ia sampai kepada sasaran pembaca atau pelanggan.

(2) Facebook

Salah satu trend adalah membina hubungan dan jaringan dengan lebih ramai pengguna yang menggunakan laman sosial ini untuk berhubung dan menjejaki lebih ramai kawan. Facebook juga sesuai bagai usahawan yang masih baru dan mahu belajar berjualan secara online. Ramai yang sudah pun mendapat impak positif hasil memasarkan produk melalui facebook.

Sunday, 11 October 2015

Tindakan Adalah Penentu

Dalam bisnes, perkara paling penting adalah TINDAKAN.

Sertailah mana-mana kelas bisnes pun. 
Saya percaya setiap satunya ada kekuatan tersendiri.

Ilmu Allah ini amat luas. 
Lain guru bisnes, lain pendekatannya.

Untuk berjaya dalam bisnes, 
Sebenarnya ia berbalik kepada diri sendiri.

Ilmu yang dipelajari, kalau balik buat pekasam, 
Maka pekasam lah yang kita dapat.

Tapi jika kita balik dan ada tindakan susulan secara praktikal,
InsyaAllah saya yakin ada manfaatnya untuk bisnes kita.

Friday, 23 January 2015

Tips Menetapkan Harga Jualan Produk Kraf Tangan Felt

Assalamualaikum dan salam Isnin penuh luar biasa ceria.

MashaAllah, hari ini saya rasa amat bersemangat mahu berkongsi satu entri yang sudah lama benar saya ingin tulis. Boleh dikatakan kerapkali juga peti mel saya dikunjungi pertanyaan dari usahawan-usahawan baru kraftangan felt yang ingin belajar cara menetapkan harga jualan kraf mereka.

Baik, saya mulakan dahulu dengan formula asas yang biasa saya gunakan. 

Harga Kos Produk = (Kos Bahan + Kos Upah) x 2*
*Boleh juga didarab dengan 3 atau 4, bergantung kepada cara operasi bisnes anda.

Formula ini sesuai digunakan oleh usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang kraftangan felt dan bisnes itu diusahakan secara persendirian dari rumah. Bagi usahawan kraf pada skala besar, ada lagi kos-kos tersembunyi yang sepatutnya dimasukkan juga dalam pengiraan harga kos produk. Contohnya bil elektrik, sewa kedai, kos pengangkutan, kos peralatan-peralatan yang digunakan dan lain-lain.

Contoh situasi: 
Menetapkan harga sebiji rantai kunci huruf.


Kos bahan-bahan:
3 keping felt 5cm x 5cm = RM0.30
1 biji rantai kunci = RM0.30
1 biji butang = RM0.10
6 cm reben grossgrain = RM0.10
1 keping kadbod 5cm x 5cm = RM0.10
Benang = RM0.10
Jumlah kos bahan = RM1.00

Kos upah:
Katakan masa untuk menyiapkan sebiji rantai kunci ini adalah 30 minit.
Jika ada pekerja, anda membayarnya upah menjahit RM4.00 untuk 1 jam.
Jadi kos upah = RM4.00 bahagi 2 = RM2.00

Oleh itu, harga kos produk = (RM1.00 + RM2.00) x 2 = RM6.00

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perlu adanya kos upah sedangkan anda lah bos, anda lah juga pekerja yang menyelesaikan tugas menjahit. Keperluan kos upah hanya akan jelas apabila anda menerima tempahan yang banyak.

Katakan anda menerima tempahan 500 set rantai kunci. Anda boleh menyiapkannya sendiri tetapi adalah lebih bijak sekiranya anda mengupah seorang pembantu untuk turut sama menyelesaikan tempahan. Jadi kos upah itu sebenarnya adalah nilai upah yang anda akan bayar kepada pembantu tersebut.

RM6.00 untuk sebiji rantai kunci mungkin kedengaran amat mahal bagi kebanyakan dari kita rakyat Malaysia. Melihat kepada kos bahan yang cuma bernilai RM1.00 mungkin ada yang beranggapan bahawa usahawan tersebut sengaja ingin meraih untung yang tinggi sebanyak RM5.00. Mereka lupa akan kos-kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh usahawan tersebut.

Saya agak terkilan kerana produk kraftangan di Malaysia masih belum mencapai tahap yang sepatutnya ia dihargai. Sangat berbeza dengan negara luar. Jarang sekali harga produk kraftangan dipertikaikan. Mereka amat tahu menghargai seni dan menghargai masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan satu-satu jenis produk.

Didoakan entri hari ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda yang masih ragu-ragu tentang cara penetapan harga kraf hasil sentuhan unik jari-jemari anda. Usah berasa segan-segan menetapkan harga yang setanding dengan kualiti jahitan dan kualiti material kraf yang anda gunakan. Pastikan harga produk anda setimpal dengan usaha dan kualiti yang ditawarkan.

Bersamalah kita menyokong dan menghargai produk kraf tempatan! :)

======================================

Update 19 Januari 2016:

Ini baru harga kos. Rupanya 'tergantung'. Belum dikira hingga HARGA JUAL rupanya.
Jadi, berapa harga jual? Berapa nilai untung yang anda mahu? :)
Tambahkan pada persamaan di atas untuk mendapatkan harga jual.

Jika ada pelanggan yang mahu beli secara borong, adakah pengiraannya sama?

Saya tinggalkan dahulu pembaca dengan soalan.
Ada jawapannya? Ada pandangan untuk dikongsi bersama?

Wednesday, 29 October 2014

Cabaran Awal Bekerja Di Rumah


Detik awal keinginan saya untuk menjadi working-at-home-mama (wahm) tercetus ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu, saya sedang bekerja di dalam bidang penyelidikan.

Terlalu banyak perkara berbangkit yang bermain di fikiran. Pengaruh hormon yang tidak stabil juga barangkali turut menyumbang kegelisahan. Daripada soal penyusuan anak, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kewangan hinggalah ke perkembangan sosial. 

Semuanya bercampur-baur, meresahkan jiwa dan akhirnya terdetik di hati kecil: "Kenapa tidak saya sendiri saja yang menjaga anak ini nanti? Bukankah kebanyakan masalah itu akan selesai?".

Sesudah saya berfikir dengan mendalam, meminta pandangan suami dan ibu, disertai dengan solat istikharah memohon petunjuk daripadaNya, hati saya akhirnya lebih cenderung untuk berada di rumah. 

Saya bulat tekad untuk menjaga sendiri anak-anak yang bakal dilahirkan nanti. Namun terselit juga sedikit kegusaran tentang hal kewangan. Maklumlah saya dan suami baru setahun mendirikan rumah tangga. Saya lebih suka berkongsi susah senang bersama suami dalam membangunkan ekonomi keluarga. Maka ada keperluan bagi saya untuk merancang bagaimana saya boleh terus bekerja dari rumah.

Memegang segulung ijazah dan berpengalaman bekerja dalam bidang profesional rupanya menjadi faktor wujudnya cabaran awal bagi saya. Alhamdulillah suami awal-awal lagi sudah memahami dan memberi sokongan tatkala saya menyuarakan hasrat ingin mengusahakan perniagaan dari rumah. 

Namun di kalangan ahli keluarga dan saudara mara yang lain, ramai yang kurang bersetuju. Impian saya dipertikai dan saya diminta menimbang semula keputusan yang diambil sewajarnya. Maklumlah, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan ahli akademik. Tiada seorang pun yang pernah terlibat dengan bisnes dari rumah.

Menjadi wahm dilihat seakan mustahil dilakukan. Satu demi satu soalan bernada negatif dilontarkan kepada saya. Hati terguris dan saya agak kecewa dengan respons yang diberi sedangkan saya mengharapkan sokongan mereka.

Saya tetap positifkan minda dan terus memandang ke hadapan bagi merealisasikan hasrat ingin menjadi wahm. Sokongan, restu dan doa suami serta ibu sudah cukup buat saya kuat untuk memulakan langkah pertama.

Menjadi wahm bererti saya perlu melepaskan gaji tetap bulanan yang selesa. Corak perbelanjaan saya berubah sekelip mata dan situasi itu agak mencabar pada mulanya. Serentak dengan itu, saya perlu lebih bijak berbelanja. Utamakan barang keperluan dan lupakan seketika barang kehendak. Dalam kekangan kewangan, saya menjadi lebih cermat, berhati-hati dan teliti menguruskan wang.

Walaupun suami berpendapatan tetap dan agak selesa, itu bukanlah alasan bagi saya untuk terus-terusan berbelanja tanpa kawalan. Keluarga kami bakal berkembang. Mahu atau tidak, simpanan untuk masa hadapan perlu ada. Bersungguh-sungguh saya merancang perbelanjaan bulanan rumah dan modal awal bisnes yang diusahakan.

Permulaan awal menjadi wahm, saya tidak terlalu mempunyai masalah dengan pengurusan masa. Anak baru seorang. Sifat bayi itu sendiri pula, lebih banyak tidur daripada terjaga. Urusan rumah tangga dan bisnes berjalan secara teratur.

Apabila mula mencecah usia enam bulan, bayi sudah mula mahukan lebih perhatian. Sudah pandai mengajak bermain dan sudah pandai menangis apabila ditinggalkan walau hanya sebentar, cabaran masa mula menguji jadual waktu seharian. Tempahan pelanggan yang semakin bertambah juga membuatkan saya mula tidak menang tangan.

Makan tidak sempat, rehat tidak cukup. Emosi saya pula mula terganggu dek pengurusan masa yang semakin kacau-bilau. Hal itu saya suarakan kepada suami tercinta. Beliau banyak menasihati dan mengingatkan kembali niat asal saya menjadi wahm.

Solusinya, saya hadkan tempahan jahitan dan menyiapkan tempahan di sebelah malam. Siang hari diluangkan sepenuhnya untuk anak. Hujung minggu atau hari cuti pula, suami banyak membantu menguruskan hal anak dan rumah. Jadi saya punya ruang dan peluang untuk menyiapkan tempahan.

Selain cabaran sokongan keluarga, pengurusan kewangan dan pengurusan masa, saya tidak terlepas dari cabaran pengurusan perniagaan. Untuk membina laman web, blog dan email khas perniagaan tidak menjadi masalah kerana latar belakang saya adalah dari bidang teknologi maklumat. Saya juga pernah berbelanja dan melakukan transaksi secara online.

Itu hanya membantu 10% sahaja daripada langkah awal membangunkan perniagaan. Banyak lagi selok-belok perniagaan yang saya belum mahir. Penetapan harga produk kraftangan juga menjadi cabaran. Apatah lagi untuk menguruskan akaun perniagaan. Mencari stok material kraf, mengira modal, mengira perbelanjaan, menguruskan stok material kraf yang dibeli, mengambil tempahan, merekabentuk kraf, menjahit seterusnya menghantar produk siap kepada pelanggan, semuanya dilakukan sendiri tanpa pembantu.

Terlalu banyak perkara baru yang perlu saya adaptasi dalam masa yang singkat kerana tidak disangka-sangka pelanggan semakin ramai. Berurusan dengan pelanggan di alam maya juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun cabaran ini saya terima dengan hati terbuka dan saya banyak belajar daripada pengalaman.

Cabaran awal yang dilalui sebenarnya adalah satu proses untuk mematangkan diri supaya kita benar-benar jelas dan yakin dengan pilihan yang dibuat. Syukur, fasa kritikal yang amat mencabar emosi saya sudah pun berlalu.

Kini hanya pujian dan kata-kata positif menjadi halwa telinga. Ramai juga yang mula bertanya tips dan rahsia untuk menjadi wahm. Setelah lebih 3 tahun menjadi wahm, perniagaan seni jahitan kraf tangan felt yang diusahakan semakin dikenali ramai.

Saya akui memang amat mencabar apabila harus membuat dua tugasan penting serentak. Melayan anak-anak yang semakin membesar di depan mata dan mengendalikan bisnes yang semakin berkembang. Namun alhamdulillah saya tetap usaha positif dan gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang. Semuanya kerana keizinan Allah.

Hidup ini penuh cabaran. Cabaran adalah warna yang menghiasi dan mencorakkan kanvas kehidupan. Memang Allah jadikan dunia ini sebagai tempat untuk manusia diuji. Setiap ujian dan cabaran yang timbul, pasti wujud hikmah di sebaliknya.

InsyaAllah cabaran boleh diatasi dengan ilmu dan pengalaman. Berbahagialah andai kita tergolong dalam mereka yang tenang dan sabar menghadapi cabaran. Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga sebagai ganjaran bagi manusia yang sabar.

Paling penting dalam menghadapi cabaran adalah permohonan doa secara terus-menerus kepada Allah Tuhan Yang Menciptakan kita, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik di setiap langkah kita di dunia. Ketenangan dan kejayaan semuanya daripada Allah.