Thursday 2 June 2022

Tutorial Kraf Penanda Buku Kain Felt


Assalamualaikum dan salam sejahtera. :)

Kali ini saya mahu berkongsi tutorial penanda buku daripada kain felt. Penanda buku ini dijahit sepenuhnya dengan tangan; tidak perlu menggunakan mesin jahit. Jadi sesiapa sahaja boleh cuba menghasilkannya sendiri.

Bahan-bahan yang diperlukan hanyalah kain felt keras (polyester felt) pelbagai warna, jarum, benang jahit berwarna senada dengan kain, reben untuk dijadikan tali penanda dan juga gam. Langkah-langkah menghasilkannya adalah seperti berikut:


(1) Untuk menghasilkan personalised bookmark, langkah pertama adalah melakar pola huruf mengikut nama anda atau nama yang dikehendaki. Reka bentuk atau font design yang dipilih seeloknya daripada jenis yang sedikit tebal untuk memudahkan kita menjahit di sekeliling huruf tersebut.

Contoh nama saya A-M-A-L-I-N-A, saya hanya perlu lakarkan pola untuk huruf M-A-L-I-N. 
 

(2) Setelah dilakar, pola tersebut digunting satu persatu. Untuk memudahkan kerja, pola dilakar di atas kertas yang sedikit tebal. Jika tiada, gunakan kertas A4 biasa pun boleh sahaja. Dalam masa yang sama, pilih dan tentukan warna kain yang dimahukan.


(3) Pola kertas yang digunting sebelum ini, ditekap pula ke atas kain felt dengan menggunakan air erasable pen atau water soluble pen. Dakwat warna pen ini akan hilang apabila terkena udara atau terkena air. Jadi jangan risau menggunakannya kerana tidak akan meninggalkan bekas pada hasil akhir kraf kita.


(4) Huruf digunting satu persatu mengikut warna pilihan. Boleh pilih sama ada mahu campur-campur warna atau menggunakan satu warna sahaja. Terpulang kepada citarasa anda. Tips untuk mendapatkan guntingan yang kemas atau clear cut, gunakan gunting besi yang benar-benar tajam dihujungnya. InsyaAllah guntingan tidak berbulu.


(5) Setelah siap kesemua guntingan huruf nama, huruf tersebut disusun atur di atas kain felt yang akan dijadikan tapak atau background. Pilih warna yang kontra supaya susunan nama kelihatan naik dan menarik. Kemudian, huruf tersebut dilekat di atas kain dengan menggunakan sedikit gam. Jangan gam di kawasan keliling huruf di tempat yang kita akan jahit supaya gam tidak mengeras dan menyukarkan proses menjahit nanti.


(6) Beginilah contoh susunan nama di atas kain yang akan dijadikan tapak. Di sekeliling nama, lebihkan sedikit ruang lebih kurang 0.5cm supaya dapat kita jahit jahitan insang pari. Tapak digaris dan ditanda dengan pen penanda. Seterusnya tapak tersebut digunting.


(7) Hujung bucu setiap tapak kain, saya suka guntingkan membulat untuk memudahkan jahitan dan kelihatan lebih menarik. Kemudian boleh mula jahit huruf nama satu persatu. Saya memilih jahitan kia kerana jahitan ini kelihatan seperti jahitan mesin jahit. Gambar ini adalah gambar di belakang jahitan kia.


(8) Beginilah rupa akhir di belakang kain setelah kesemua huruf dijahit.


(9) Ini pula rupa di bahagian depan atau bahagian atas kepingan kain felt tersebut. Semua huruf dikemaskan dengan jahitan kia. Gunting sekeping lagi tapak kain bersaiz serupa. Tujuannya untuk menutup bahagian belakang jahitan tadi dan untuk membuatkan penanda buku lebih kukuh (sturdy).


(10) Sebelum mencantumkan kedua-dua kepingan tapak kain menggunakan gam, selit dan lekatkan dahulu reben di bahagian 'kepala' penanda buku. Kemudian gamkan di bahagian tengah. Elakkan gam terkena di kawasan tepi-tepi bahagian yang akan dijahit.

Selepas itu bolehlah kemaskan keliling penanda buku dengan jahitan insang pari. Saya hanya menggunakan benang dua lapis. Boleh juga menggunakan benang empat lapis jika mahu dan suka.


(11) Inilah hasilnya setelah kita kemaskan jahitan sekeliling dengan jahitan insang pari. Penting untuk menggunakan kain felt jenis keras yang berkualiti supaya hasilnya cantik dan kemas terletak. 




Saya harap tutorial langkah demi langkah ini dapat membantu anda menghasilkan sendiri penanda buku felt yang comel dan menarik. Kain felt keras atau polyester felt pelbagai warna yang berkualiti boleh didapati menerusi Shopee Amal Creative.

Setelah cuba dan siapkan penanda buku felt nanti, jangan lupa tag saya di Facebook Amal Creative atau Instagram Amal Creative (@amalcreative). Boleh juga kongsikan link entri blog ini dengan kawan-kawan anda. :) Selamat berkarya!

[Kemaskini 1 Mac 2024]

Anda boleh dapatkan kain felt berkualiti di kedai Shopee kami. Berikut disertakan link untuk memudahkan pilihan.

Kain felt 1mm variasi hitam putih, merah, jingga dan kuning:

Kain felt 1mm variasi hijau, biru dan ungu:

Set kain felt 1mm semua 33 warna:

Kain felt 2mm (lebih tebal):

Kain felt 1mm bercorak (corak snow/heart/polkadot/flower):

Kain felt 1mm putih gulung (meter):

No comments: