Sunday 25 January 2015

Rahsia Di Sebalik 'Mahal'nya Produk Kraf Tangan Felt

"Mahal sangat lah!"
"Keychain macam ni je pun RM5.00?"
"Tak boleh ke jual keychain ni sebiji RM1.00? Saya nak beli 10."
"Bahan nampak murah. Tapi kenapa mahal sangat jual?"

Sejujurnya sebelum saya melibatkan diri dalam bidang seni jahitan kraf, saya juga pernah menyuarakan soalan-soalan yang sama di dalam hati. Mungkin atas faktor kurangnya pendedahan terhadap kerja-kerja seni membuatkan diri saya kurang empati.

Benarkah produk kraftangan seringkali mahal harganya?

Bagi saya, mahal atau tidak itu sebenarnya bergantung kepada penilaian individu. Individu yang tahu menilai dan tahu menghargai hasil seni halus kraf, sudah tentu tidak akan mempertikaikan harga yang telah pun ditetapkan pada satu-satu produk kraf.


Produk kraftangan tidak sama dengan produk terhasil dari kilang. Mengapa?

1. Produk kraftangan adalah produk yang menggunakan tenaga kerja manusia dan memerlukan ketelitian yang tinggi semasa proses penghasilannya. Cara kerja manusia amat berbeza dengan cara mesin bekerja. Manusia perlukan rehat akibat keletihan setelah bekerja berjam-jam tanpa henti sedangkan mesin boleh beroperasi selama 24 jam tanpa henti dan tanpa ada sebarang masalah.

2. Produk kraftangan mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Walaupun produk yang dihasilkan hanyalah seutas rantai kunci felt berbentuk bintang misalnya, banyak proses yang perlu dilakukan untuk menyudahkannya. Bermula dengan aktiviti melukis pola, menggunting pola, menekap pola pada kain, menggunting kain, melekatkan butang hiasan, menjahit kain dan akhirnya memasang rantai kunci. Setiap proses ini mengambil sejumlah masa tersendiri. Ia tidak terhasil dalam tempoh 5 minit.

3. Harga material kraf untuk produk kraftangan biasanya dibeli dalam jumlah yang sedikit bergantung kepada keperluan semasa pengusaha produk kraf tersebut. Kos bahan yang dibeli dengan harga runcit adalah lebih mahal berbanding kos bahan yang dibeli secara borong seperti yang dilakukan di kilang.

4. Produk kraftangan adalah unik dan eksklusif. Satu produk mungkin hanya ada satu sahaja di dunia. Jika ada yang sama pun, tidak mungkin akan seiras 100%. 

5. Produk kraftangan dihasilkan mengikut kehendak pelanggan. Ini melibatkan proses perbincangan di antara pengusaha kraf dengan pelanggan. Ada pelanggan yang menyerahkan sepenuhnya penentuan corak dan reka bentuk produk. Pengusaha kraf perlu memperuntukkan sejumlah masa untuk mengeluarkan idea yang menepati citarasa pelanggan. Namun tidak kurang juga pelanggan yang cerewet dan punya citarasa tersendiri. Ini memaksa perbincangan dilakukan berulang kali sehingga kedua-duanya bersetuju dengan idea yang dipilih.

Setelah membaca 5 perkara di atas, adakah persepsi anda terhadap harga produk kraftangan felt akan berubah? Letakkan diri anda sebagai seorang pengusaha kraftangan. InsyaAllah anda akan lebih empati dan anda mungkin akan lebih menghargai apa jua produk kraftangan di masa akan datang.

Bersamalah kita menyokong produk kraftangan tempatan! :)

No comments: