Wednesday 29 October 2014

Cabaran Awal Bekerja Di Rumah


Detik awal keinginan saya untuk menjadi working-at-home-mama (wahm) tercetus ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu, saya sedang bekerja di dalam bidang penyelidikan.

Terlalu banyak perkara berbangkit yang bermain di fikiran. Pengaruh hormon yang tidak stabil juga barangkali turut menyumbang kegelisahan. Daripada soal penyusuan anak, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kewangan hinggalah ke perkembangan sosial. 

Semuanya bercampur-baur, meresahkan jiwa dan akhirnya terdetik di hati kecil: "Kenapa tidak saya sendiri saja yang menjaga anak ini nanti? Bukankah kebanyakan masalah itu akan selesai?".

Sesudah saya berfikir dengan mendalam, meminta pandangan suami dan ibu, disertai dengan solat istikharah memohon petunjuk daripadaNya, hati saya akhirnya lebih cenderung untuk berada di rumah. 

Saya bulat tekad untuk menjaga sendiri anak-anak yang bakal dilahirkan nanti. Namun terselit juga sedikit kegusaran tentang hal kewangan. Maklumlah saya dan suami baru setahun mendirikan rumah tangga. Saya lebih suka berkongsi susah senang bersama suami dalam membangunkan ekonomi keluarga. Maka ada keperluan bagi saya untuk merancang bagaimana saya boleh terus bekerja dari rumah.

Memegang segulung ijazah dan berpengalaman bekerja dalam bidang profesional rupanya menjadi faktor wujudnya cabaran awal bagi saya. Alhamdulillah suami awal-awal lagi sudah memahami dan memberi sokongan tatkala saya menyuarakan hasrat ingin mengusahakan perniagaan dari rumah. 

Namun di kalangan ahli keluarga dan saudara mara yang lain, ramai yang kurang bersetuju. Impian saya dipertikai dan saya diminta menimbang semula keputusan yang diambil sewajarnya. Maklumlah, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan ahli akademik. Tiada seorang pun yang pernah terlibat dengan bisnes dari rumah.

Menjadi wahm dilihat seakan mustahil dilakukan. Satu demi satu soalan bernada negatif dilontarkan kepada saya. Hati terguris dan saya agak kecewa dengan respons yang diberi sedangkan saya mengharapkan sokongan mereka.

Saya tetap positifkan minda dan terus memandang ke hadapan bagi merealisasikan hasrat ingin menjadi wahm. Sokongan, restu dan doa suami serta ibu sudah cukup buat saya kuat untuk memulakan langkah pertama.

Menjadi wahm bererti saya perlu melepaskan gaji tetap bulanan yang selesa. Corak perbelanjaan saya berubah sekelip mata dan situasi itu agak mencabar pada mulanya. Serentak dengan itu, saya perlu lebih bijak berbelanja. Utamakan barang keperluan dan lupakan seketika barang kehendak. Dalam kekangan kewangan, saya menjadi lebih cermat, berhati-hati dan teliti menguruskan wang.

Walaupun suami berpendapatan tetap dan agak selesa, itu bukanlah alasan bagi saya untuk terus-terusan berbelanja tanpa kawalan. Keluarga kami bakal berkembang. Mahu atau tidak, simpanan untuk masa hadapan perlu ada. Bersungguh-sungguh saya merancang perbelanjaan bulanan rumah dan modal awal bisnes yang diusahakan.

Permulaan awal menjadi wahm, saya tidak terlalu mempunyai masalah dengan pengurusan masa. Anak baru seorang. Sifat bayi itu sendiri pula, lebih banyak tidur daripada terjaga. Urusan rumah tangga dan bisnes berjalan secara teratur.

Apabila mula mencecah usia enam bulan, bayi sudah mula mahukan lebih perhatian. Sudah pandai mengajak bermain dan sudah pandai menangis apabila ditinggalkan walau hanya sebentar, cabaran masa mula menguji jadual waktu seharian. Tempahan pelanggan yang semakin bertambah juga membuatkan saya mula tidak menang tangan.

Makan tidak sempat, rehat tidak cukup. Emosi saya pula mula terganggu dek pengurusan masa yang semakin kacau-bilau. Hal itu saya suarakan kepada suami tercinta. Beliau banyak menasihati dan mengingatkan kembali niat asal saya menjadi wahm.

Solusinya, saya hadkan tempahan jahitan dan menyiapkan tempahan di sebelah malam. Siang hari diluangkan sepenuhnya untuk anak. Hujung minggu atau hari cuti pula, suami banyak membantu menguruskan hal anak dan rumah. Jadi saya punya ruang dan peluang untuk menyiapkan tempahan.

Selain cabaran sokongan keluarga, pengurusan kewangan dan pengurusan masa, saya tidak terlepas dari cabaran pengurusan perniagaan. Untuk membina laman web, blog dan email khas perniagaan tidak menjadi masalah kerana latar belakang saya adalah dari bidang teknologi maklumat. Saya juga pernah berbelanja dan melakukan transaksi secara online.

Itu hanya membantu 10% sahaja daripada langkah awal membangunkan perniagaan. Banyak lagi selok-belok perniagaan yang saya belum mahir. Penetapan harga produk kraftangan juga menjadi cabaran. Apatah lagi untuk menguruskan akaun perniagaan. Mencari stok material kraf, mengira modal, mengira perbelanjaan, menguruskan stok material kraf yang dibeli, mengambil tempahan, merekabentuk kraf, menjahit seterusnya menghantar produk siap kepada pelanggan, semuanya dilakukan sendiri tanpa pembantu.

Terlalu banyak perkara baru yang perlu saya adaptasi dalam masa yang singkat kerana tidak disangka-sangka pelanggan semakin ramai. Berurusan dengan pelanggan di alam maya juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun cabaran ini saya terima dengan hati terbuka dan saya banyak belajar daripada pengalaman.

Cabaran awal yang dilalui sebenarnya adalah satu proses untuk mematangkan diri supaya kita benar-benar jelas dan yakin dengan pilihan yang dibuat. Syukur, fasa kritikal yang amat mencabar emosi saya sudah pun berlalu.

Kini hanya pujian dan kata-kata positif menjadi halwa telinga. Ramai juga yang mula bertanya tips dan rahsia untuk menjadi wahm. Setelah lebih 3 tahun menjadi wahm, perniagaan seni jahitan kraf tangan felt yang diusahakan semakin dikenali ramai.

Saya akui memang amat mencabar apabila harus membuat dua tugasan penting serentak. Melayan anak-anak yang semakin membesar di depan mata dan mengendalikan bisnes yang semakin berkembang. Namun alhamdulillah saya tetap usaha positif dan gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang. Semuanya kerana keizinan Allah.

Hidup ini penuh cabaran. Cabaran adalah warna yang menghiasi dan mencorakkan kanvas kehidupan. Memang Allah jadikan dunia ini sebagai tempat untuk manusia diuji. Setiap ujian dan cabaran yang timbul, pasti wujud hikmah di sebaliknya.

InsyaAllah cabaran boleh diatasi dengan ilmu dan pengalaman. Berbahagialah andai kita tergolong dalam mereka yang tenang dan sabar menghadapi cabaran. Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga sebagai ganjaran bagi manusia yang sabar.

Paling penting dalam menghadapi cabaran adalah permohonan doa secara terus-menerus kepada Allah Tuhan Yang Menciptakan kita, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik di setiap langkah kita di dunia. Ketenangan dan kejayaan semuanya daripada Allah.

No comments: