Friday 10 October 2014

Tutorial Kek Cawan Felt Bermagnet

Assalamualaikum semua. 

Tutorial kek cawan bermagnet hari ini menggunakan 3 jenis asas jahitan iaitu jahitan sembat, jahitan kia dan jahitan insang pari. Felt yang digunakan adalah jenis felt poliester (felt keras). Anda juga boleh menggunakan felt lembut untuk projek ini.


Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah melukis pola kek cawan di atas sekeping kertas. Kemudian tekapkan pola di atas kain felt mengikut warna kesukaan. Saya menggunakan felt kuning untuk bahagian bawah kek manakala felt biru sebagai topping kek.

Tandakan bahagian mata dan lukiskan garisan mulut. Buatkan lubang kecil di bahagian mata untuk memasukkan brads kecil berwarna hitam. Buatkan jahitan kia pada lukisan mulut menggunakan benang merah. 

Hiaskan bahagian topping kek dengan butang comel mengikut design kegemaran. Gamkan sedikit di bahagian belakang butang untuk menetapkan kedudukannya, diikuti dengan jahitan untuk mengukuhkan lagi butang agar tidak mudah tercabut.

Jahitkan jahitan jenis insang pari di sekeliling kepingan kain yang ditindan dua. Tinggalkan sedikit ruang kosong lebih kurang 3 cm untuk memasukkan fiber di dalamnya. Tolakkan fiber menggunakan kayu kecil supaya ruang di dalam kek cawan terisi penuh dan padat. Setelah itu, tutupkan ruang tidak berjahit tadi dengan meneruskan jahitan insang pari.

Akhir sekali, gamkan magnet di bahagian belakang kek cawan. Kek cawan ini sedia dilekatkan di mana-mana bahagian berlogam seperti peti sejuk dan papan kenyataan.

Anda boleh juga menggunakan kreativiti untuk menghasilkan design lain seperti buah-buahan atau sayur-sayuran. Nombor atau huruf bermagnet juga boleh dihasilkan melalui cara ini untuk dijadikan alat bantu mengajar anak-anak.

Selamat mencuba! :)

No comments: