Sunday 5 April 2015

Tutorial Kad Imbas Felt (Flash Felt)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ketika ke udara secara langsung dalam rancangan Assalamualaikum Tv Al-Hijrah pada Februari 2015 yang lepas, saya telah menunjukkan sepintas lalu langkah-langkah menghasilkan kad imbas dari kain felt. Setelah itu, ramai yang menghubungi saya melalui Facebook, sms mahupun email, memohon saya kongsikan semula secara bertulis dan dengan lebih terperinci tutorialnya.


Bahan-bahan dan peralatan yang digunakan:

Kain polyester felt pelbagai warna yang berkualiti.
Gam UHU atau gam tembak.
Pembaris.
Pen atau pensel penanda.
Pensel.
Kertas.
Gunting.
Plier.
Eyelet plier.
Rantai bebola (ball chain).
Benang.
Jarum.

Langkah-langkah menghasilkannya:

1) Potong dua keping kain felt bersaiz 4 inci x 3 inci.
2) Cantum kedua-dua kain dengan meletakkan sedikit gam di bahagian tengah kain supaya susunannya tidak lari semasa dijahit. Jahit keliling kain dengan menggunakan jahitan kia atau jahitan insang pari. Ketepikan.
3) Lukis pola huruf di atas sekeping kertas keras. Guntingkan pola.
4) Tekap pola di atas sehelai kain felt berwarna kontra dengan felt yang dipotong awal tadi. Gunakan pen atau pensel penanda.
5) Gunting huruf yang telah ditanda di atas felt tadi.
6) Lekatkan huruf tersebut di atas kain felt yang telah dicantum jahit awal tadi.
7) Tebuk hujung felt dengan menggunakan plier.
8) Masukkan eyelet di dalam lubang. Kemudian tekan rapat eyelet dengan menggunakan plier.
9) Ulang langkah 1 hingga 8 untuk huruf atau nombor yang berbeza.
10) Rantai bebola boleh dipasang pada lubang eyelet supaya felt imbas dapat disusun atau disimpan setelah selesai belajar.

Tips tambahan:

- Langkah 2 boleh dijahit dengan menggunakan mesin jahit. Lebih menjimatkan masa dan tenaga.
- Langkah 3 boleh dilakukan dengan mencetak huruf atau nombor dari komputer. Pelbagai jenis font boleh dipilih mengikut kesesuaian sesi pembelajaran.
- Jika mempunyai mesin pemotong felt Big Shot, anda boleh menggunakan dies berbentuk segiempat tepat atau dies bulat untuk memotong bahagian badan kad.
- Huruf atau nombor pada kad pula boleh dipotong menggunakan dies huruf dan dies nombor. Amat menjimatkan masa.

Selamat mencuba menghasilkan felt flash card anda sendiri. :)

No comments: